Sunday, February 15, 2009

JEJAK KE PUNCAK

SAHAR MISRON (SAMSA HARRIS)

Kampung Sungai Lurus, Senggarang, Batu Pahat, Johor adalah tanah tumpah darahku yang pertama. 3 Mei 1959 detik kelahiran dua anak kembar lelaki hasil perkongsian hidup Misron bin Kastawi dengan Maymanah bt Hj. Anuar. Kehidupan masa kecilku diwarnai dengan keceriaan walaupun keluarga kami daripada kalangan sederhana, walaupun petani ayahku mempunyai beberapa ekar tanah. Seperti rakan sezaman kami pada tahun enam puluhan ini, kami turut bermain dan mandi-manda di sungai bercampur lelaki perempuan, tanpa segan silu, maklumlah dalam usia empat keenam tahun, mana ada rasa malu, rasa malu timbul apabila kami sudah bersekolah.

Melastik burung adalah hobiku semasa kecil. Aku dan kawan-kawan sebaya akan pergi ke belukar berdekatan dengan bersenjatakan lastik. Lastik yang dibuat daripada cabang dahan jambu atau pokok lain yang tahan, dengan tiub basikal yang sudah terpakai. Apa lagi, burung kelicap, murai akan jadi mangsa lastik kami. Aku pun tidak pasti siapakah yang memberitahu kami, murai tidak boleh dimakan, ialah mana larat nak makan dengan rupanya yang agak hodoh dan hitam legam, macam burung gagak. Kalau kelicap yang kami lastik, nyawa-nyawa ikan kami sembelih dengan pisau lipat kecil,lalu kami panggang dengan kayu kering, walaupun kecil, sedap rasanya. Kami tanpa diajar secara langsung, akan membaca Bismillah sebelum menyembelih kelicap kecil itu. Kadangkala kalau kena tepat di kepada, bersepai kepala kelicap itu, kami tanamkan, tidak dimakan kerana kawan kami yang lebih besar memberitahu tidak boleh dimakan, jadi bangkai.

Waktu malam pula kami akan mengikut abang-abang kami ”menekut” burung wak-wak atau burung ayam-ayam. Kadangkala rasa seram juga apabila mereka bercerita, semasa menekut atau memanggil burung ayam-ayam dengan sejenis alat bunyi-bunyian diperbuat daripada buluh, dilubangkan di bahagian atas, berbunyi nyaring, tidak boleh buat bising takut penunggunya menganggu. Kecut perut kami mendengar amaran itu. Kami berselubung kain pelikat, menunggu burung ayam-ayam menyahut, sahut bersahut lalu masuk perangkap jaring dan penyauk jaring. Rasa burung wak-wak atau ayam-ayam ini sedap sekali, sama ada digoreng atau dipanggang setelah disembelih.

MPRM (Latihan Perguruan)
SJKC Kemayan, Pahang
SJKC Maran, Pahang
SJKC Chung Ching, Kuantan, Pahang
Pusat Perkembangan Kurikulum, Pesiaran Duta, Kuala Lumpur
(Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang - belajar)
(University of Bristol, United Kingdom – belajar)
(Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands – belajar)
SMK Yaacob Latiff, Jalan Peel Kuala Lumpur
SMK Setapak Indah, Kuala Lumpur
SMK Pantai, W.P Labuan
Jabatan Pelajaran W.P Labuan
SMK Lajau, W.P Labuan

Pertukaranku ke W.P Labuan atas kehendak sendiri, tanpa sesiapa yang memaksa. Segala-galanya bermula apabila isteri tersayang mengajukan untuk bertukar angin setelah berbelas tahun bertugas di Kuala Lumpur. Aku bersetuju dengan cadangan isteriku, malah anak-anakku juga tidak ada yang menghalang. Mungkin mereka letih dengan kesibukan dan keriuhan kota besar Kuala Lumpur.

Maka, pada 1 Jun tahun 2003 isteriku mula bertugas di W,P Labuan. Tahun itu anakku yang sulung baru memulakan pengajiannya di UITM Shah Alam, mengambil jurusan Bangunan di peringkat diploma, manakala anakku yang kedua, juga lelaki sedang bersedia untuk menghadapi SPM hujung tahun itu. Kami sekeluarga menghantar isteriku untuk memulakan tugas di wilayah ini. Kami tinggal di Hotel Waterfront selama lima hari sebelum mendapat rumah sewa. Ibu bapa mertuaku turut sama ke W.P Labuan. Aku pada waktu itu masih bertugas di SMK Setapak Indah, Kuala Lumpur, menjawat jawatab Penolong Kanan Tadbiran dan Kurikulum. Kebetulan ketika itu cuti pertengahan tahun.

Isteriku ditemani dua orang anak perempuanku, Naqibah yang baru berusia 6 Tahun dan Nadiah yang belajar di Tahun 3. Aku kembali semula ke kuala Lumpur setelah dua minggu menemankan isteriku. Aku bersama dengan seorang anak perempuanku yang belajar di Tahun 6, sedang bersedia untuk menduduki UPSR ketika itu. Sambil itu aku mengisi borang pertukaran ke W.P Labuan untuk awal Tahun 2004. Pengetua sekolahku tidak banyak soal apabila aku mengemukakan surat pertukaran, malah beliau menyokong permohonanku ”mengikut isteri” dengan sokongan kuat atas alasan munasabah. Lima bulan aku dan anak perempuanku, Nabihah di rumah yang kami beli pada Tahun 1989 dan mula tinggal mulai Tahun 1993.

Setelah anakku itu menduduki UPSR, dia mengikuti isteriku di W.P Labuan. Tinggallah aku berseorangan menunggu cuti akhir tahun persekolahan. Setelah menyiapkan tugasanku sebagai Penolong Kanan dan surat pertukaranku diluluskan, dua hari sebelum hari raya puasa aku berangkat ke Labuan. Sebelumnya selama sebulan aku tinggal di Hotel City Villa, di Chow Kit, menumpang bilik sahabatku, Jins (Mahayuddin) kerana rumahku di Seri Keramat telah kusewakan dengan kadar RM1700.00 sebulan dan dijadikan Taska. Hingga ke hari ini aku amat terhutang budi kepada sahabatku, Jins. Hingga sekarang pun kalau aku ke Kuala Lumpur aku masih tinggal di hotel itu, macam rumah keduaku.

Aku masih ingat ketika aku mula bertukar ke W.P Labuan, ketika itu Peperiksaan PTK julung-julung kali diadakan. Aku mengambil peluang cuti hujung tahun itu untuk membuat latih-tubi, hingga aku lulus kedua-dua kertas pada Tahun 2003 itu. Peratus kelulusan di kalangan guru ialah hanya 0.09 % sahaja, dan aku amat bertuah menjadi kumpulan pelopor PTK yang lulus, serta menerima Anjakan Gaji pada tahun berikutnya.SECEBIS KENANGAN

Aku amat gembira sekali apabila keputusan PMR diumumkan. Kegembiraan seorang guru daripada kejayaan murid-murid khususnya dalam mata pelajaran Geografi. Rasanya tidak sia-sia usaha dan dorongan kepada murid-muridku sebelum peperiksaan PMR dahulu. Apa tidaknya, semua murid yang kuajar daripada kelas 3 Topez dan 3 Delima seramai 64 orang semuanya lulus subjek Geografi, mencapai sasaranku 100% muridku lulus dalam subjek yang kuajar. Malah lebih membanggakan aku sebagai guru mereka, 10 daripada mereka mendapat Gred A dalam Geografi, 28 mendapat Gred B, 18 mendapat Gred C, dan hanya 7 orang mendapat Gred D, seorang tidak hadir.

Apa yang kuharapkan dan impikan selama aku mula bertugas di Pulau Labuan sejak awal tahun 2004 membuahkan hasil, tambahan pula mereka kumpulan pertama mengambil PMR di sekolah ini, iaitu SMK Pantai. Lebih membanggakan, semua anak angkatku seramai empat orang lulus dalam subjek Geografi walaupun 2 orang daripada mereka daripada kelas paling lemah. Syukur kepada Allah.

Seperti yang aku janjikan kepada murid-muridku, aku menyumbangkan RM10.00 seorang kepada semua murid yang mendapat Gred A, dan semua anak angkatku yang lulus subjek itu, yang mana dua orang daripadanya mendapat Gred B. Sebagai meraikan kejayaan mereka, aku mengadakan jamuan khas di rumah dengan menjemput murid-muridku yang akan melangkah ke Tingkatan 4 pada Tahun ini, 2005 dan sebagai galakan aku juga menjemput murid-muridku yang berada di Tingkatan 3 yang bakal menghadapi PMR pada Tahun 2005.

Aku juga amat bangga kerana enam orang muridku hanya kekurangan satu subjek untuk mendapat “straight A” dalam PMR sulung di sekolah kami, termasuk seorang anak angkatku.

Walaupun kini aku tidak lagi mengajar di SMK Pantai kerana mulai 1 Disember 2004 aku bertukar ke Jabatan Pelajaran Labuan, kenangan manis di SMK Pantai tidak aku lupakan sepanjang hayat. Ada kesinambungan kejayaan dan kecemerlangan murid-muridku di SMK Setapak Indah, Kuala Lumpur yang mana aku bersama pengetuanya merupakan perintis sebuah sekolah baru. Malah hingga kini murid-muridku masih menghantar SMS bertanyakan khabar. Malah pada PMR 2003 seramai 19 orang daripada muridku di sekolah itu mendapat 8A, (“straight A”). Aku yakin murid-murid di Pulau Labuan juga boleh mencapai kejayaan lebih baik jika kena dengan dorongan, usaha dan strategi untuk cemerlang.

Inilah kepuasan dalam liku-liku perjalanan kehidupan seorang guru yang penuh dengan cebisan kenangan manis bersama-sama anak-anak muridnya.
Wassalam.

SAMSA HARRIS
W.P Labuan 1 Januari 2005
Aku menerima khabar gembira anak-anak murid yang pernah kuajar semasa Tingkatan 2 Tahun 2004 di SMK Pantai, mendapat kejayaan yang boleh dibanggakan. Seorang muridku bernama Wilson yang pernah kuajar mata pelajaran Bahasa Melayu mendapat “straight A” dalam peperiksaan PMR Tahun 2005. Begitu juga beberapa orang muridku yang lain mendapat kejayaan yang agak cemerlang dalam PMR tersebut.

Aku juga menerima khabar gembira daripada muridku di Tingkatan 5 di SMK Setapak Indah, Kuala Lumpur. Ada antara muridku(M. Hudaifah) yang mendapat 10 A dalam peperiksaan SPM Tahun 2005 walaupun muridku ini kehilangan bapanya semasa sedang menghadapi peperiksaan tersebut. Malah beberapa orang murid yang masih kuingat nama mereka turut berjaya dengan agak cemerlang mendapat 6A, 7A dan 8A dalam peperiksaan SPM. Apa yang menggembirakan aku ialah mereka masih berhubung denganku melalui telefon dan SMS walaupun setelah hampir tiga tahun aku meninggalkan mereka untuk berhijrah ke Labuan. Aku tumpang gembira dengan kejayaan mereka. Semoga mereka terus berjaya dalam hidup.



10 April 2006

Apabila keputusan PMR Tahun 2009 diumumkan pada 30 Disember lalu, hatiku sebak kerana keputusan keseluruhan hanya 54.90, peningkatan yang amat kecil iaitu 0.06 % dari PMR Tahun 2007 iaitu 54.84 %. Penolong Kanan 1 Puan Dona Undoh terus membuat analisis. Dua orang muridku mendapat 6A dan 2B, hampa lagi harapanku untuk melihat kejayaan muridku mendapat “straight A’s kali ini. Lebih membingungkan aku mata pelajaran Kemahiran Hidup 4 merudum kepada 82% berbanding tahun sebelumnya 100%, juga mata pelajaran Geografi merudum daripada lebih 90% Tahun 2007 kepada 82% sahaja.. Semua mata pelajaran mengalami penurunan prestasi, kecuali Bahasa Inggeris dan Sejarah. Peningkatan prestasi Bahasa Inggeris daripada 59% kepada 65% tidak dapat mengubat kesedihan hatiku. Sejenak aku memikirkan seolah-olah aku gagal “mengurus” guru dan muridku. Kecewa juga aku seketika itu. Tetapi aku perlu cepat bangkit daripada kecewa ini. Untuk memujuk hatiku, aku tahu sekolahku tiada Kelas KRK seperti sekolah lain dan “feeder school” kami daripada murid lemah. Aku perlu keluar daripada kegagalan ini, lebih-lebih lagi aku baru diberikan surat memangku Gred DG48 pada bulan lepas.. Aku perlu bangkit dan mencari jalan meningkatkan prestasi muridku di SMK Lajau. Khabar gembira daripada Shamsuddin, bekas guruku yang kini masih di SMK Setapak Indah, Kuala Lumpur yang memberitahu 11 murid mendapat ”Straight A’s” mengubat sedikit kesedihan ini. Sekolah yang kutinggalkan lima tahun lalu terus meniti kejayaan walaupun berlaku sedikit penurunan selepas kutinggalkan pada Tahun 2003 dulu. Aku bertekad mencari penyelesaian, aku akan jalinkan hubungan dengan Guru Besar SK Lubok Temiang yang baru Encik Matlong untuk meletakkan landasan yang kukuh di sekolah rendah.

Apa yang lebih memilukan aku ialah apabila muridku yang agak cemerlang dalam PMR memohon bertukar ke sekolah lain. Manakala ada murid yang lemah dari sekolah lain merayu masuk ke sekolahku.. Kalau diikutkan hati mahu sahaja aku larang muridku bertukar keluar dan tidak menerima murid baru tetapi kalau begitu di mana pula murid lemah ini hendak belajar? Aku buang keliru dan berazam supaya murid lemah juga perlu aku majukan walaupun pengetua sekolah lain tidak menerimanya.

Aku berdoa supaya ada sinar dalam SPM dan STPM pula.
31 DISEMBER 2009



Sekolahku yang pertama di W.P Labuan ialah SMK Pantai. Aku mengajar mata pelajaran Geografi dan Bahasa Melayu. Hanya sebelas bulan sahaja aku di sekolah ini, sebelum diminta bertugas di Jabatan Pelajaran W.P Labuan secara pentadbiran. Aku berpeluang menerima APC, RM1000.00, tak kusangka kerana aku hanya bertugas 11 bulan sahaja di sekolah ini, kalau ikutkan hati hendak sahaja aku menolak, tetapi aku tahu pengetua ketika itu Encik Yusup Mohamad, ikhlas memberikan kepadaku atas tugas sebagai guru Geografi dan Bahasa Melayu serta Setiausaha Kurikulum. Syukurlah kerana tiada bunyi di belakang mempersoalkan penerimaan APC Tahun 2004 ini. Pada mulanya sebagai Ketua Unit Perkhidmatan dan pada 15 April 2005 sebagai Ketua Sektor Pengurusan dan Perkhidmatan Pelajaran, juga secara pentadbiran. Bertugas di Jabatan Pelajaran hádala yang paling mencabar dan agak memenatkan tetapi menyeronokkan sepanjang kerjaya dalam bidang pendidikan. Walaupun bertugas di W.P Labuan, aku kerap menghadiri pelbagai mesyuarat sama ada di Kuala Lumpur atau bandar besar lain, termasuk di Sabah dan Sarawak. Beberapa perubahan drastik terutama dari segi pengurusan kewangan aku perkenalkan di Jabatan Pelajaran W.P Labuan, walaupun ada tindakan-tindakanku kurang disenangi terutama dari segi ketegasanku yang mengikut prosedur kewangan tanpa tolak-ansur. Semua yang kubuat bukan untuk menyusahkan sesiapa, tetapi untuk pelbagai kesilapan dan kelemahan sebelumnya yang menyebabkan ada pegawai-pegawai sebelumnya yang terpaksa berhadapan dengan siasatan pihak Bahagian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Audit Dalam KPM malah pihak BPR kerana penyelewengan dan pelanggaran tatacara kewangan, tidak mengikut Arahan Perbendaharan dan Pekeliling Kewangan berkaitan. Syukur kerana usahaku Amat difahami oleh Pengarah ketika itu, Encik Ahmad A. Staun, yang lebih senang kupanggil Che Mat, walaupun orang lain memanggil beliau “tuan” Aku terasa kekok untuk memanggil beliau dengan panggilan “tuan” kerana selama berbelas tahun aku bertugas di Pusat Perkembangan Kurikulum tidak ada seorang Pengarah pun yang kupanggil tuan kecuali “tuan haji”. Aku juga kekok jira ada orang memanggilku dengan panggilan “tuan”, malah aku lebih senang kalau orang memanggil dengan panggilan “cikgu” atau kalau teman yang agak rapat cukup dengan panggilan nama sahaja.

Pada 16 Jun 2006 aku diarahkan bertugas sebagai pengetua di SMK Lajau, W.P Labuan, menggantikan Tuan Haji Mohamad bin Abu Bakar yang bersara wajib mulai 16 Mei 2006. Seronok sekali apabila aku diarahkan bertugas sebagai pengetua, dapatlah aku praktikkan apa yang kupelajari semasa mengambil ME.d Management and Language Teaching di University of Bristol, United Kingdom pada Tahun 1996/1997 serta NPQH di IAB pada Tahun 1999/2000 dulu.

Aku memulakan tugas di SMK Lajau dengan pelbagai tanggapan seluruh warganya. Tidak hairanlah pada tahun pertama ada beberapa orang guru lelaki yang memohon bertukar ke sekolah lain, aku tahu kemudian daripada Pembantu Am Pejabat yang “membocorkan” rahsia warga sekolah pada awal aku di sekolah ini. Reputasiku di Jabatan rupanya disalah tafsir. Malah perkara ini diakui sendiri oleh penolong-penolong kananku yang mendapat gambaran yang salah, mereka mengakui “agak risau” apabila mengetahui aku yang akan menjadi pengetua di sekolah ini. Lama-kelamaan mereka memahami cara bekerjaku yang inginkan yang terbaik dan berkualiti. Memang aku agak pantas dalam bekerja, padaku perubahan tidak boleh mengambil masa yang lama.

Beberapa perubahan mula kubuat setelah membuat penelitian. Visi dan misi yang kuanggap perlu penambahbaikan kugubal semula bersama seluruh warga, kami ingin menjadikan ”SMK Lajau terbaik akademik di W.P Labuan Tahun 2011”, setahun selepas itu kami sepakat menambahbaik kepada menjadikan ”SMK Lajau terbaik di W.P Labuan tahun 2011”, misinya merangkumi pengurusan terbaik, berkualiti, telus dalam pengurusan, pentadbiran, kewangan, juga dalam aspek kurikulum, hal-ehwal murid, sahsiah, kokurikulum berteraskan sekolah lestari dan ICT.

Selepas itu aku mula memberi tumpuan kepada usaha untuk membangunkan fizikal dan kemudahan sekolah. Beberapa projek berjaya dilaksanakan iaitu Dataran Berbumbung Terbuka (Dataran Gemilang), pemasangan pancuran air, menutup longkang dengan besi keselamatan, Laluan Berbumbung, pondok bacaan/ilmu, pemasangan penghawa dingin di Pusat Sumber Sekolah, Bilik Guru, Bilik Gerakan(Bilik Semarak), mengecat pondok pengawal, dan Rumah Pam, penyelenggaraan Rumah Pam. Mewujudkan Bilik Peperiksaan serta menyelenggara bumbung bangunan dan bengkel Kemahiran Hidup. Malah program menghijaukan kawasan sekolah dengan tanaman pokok bunga dan pokok buah-buahan mengubah fizikal sekolah ini, melalui projek seorang sepasu bunga dengan nama murid pada pasu, pelabelan nama pokok herba serta projek kata-kata motivasi mewujudkan suasana kondusif untuk murid belajar. Penekanan ialah kepada konsep ”guru mengajar, murid belajar”

Berita makin hangat pertukaranku dari SMK Lajau ke SMK Mutiara. Di sana sini guru-guru bercerita tentang pertukaranku itu, malah bukan sahaja guru-guru sekolahku memperkatakannya tetapi guru sekolah lain. Senang sahaja jawapanku, tiada surat hitam putih, itu kerja pengarah kan. Mereka tidak percaya aku tidak tahu tentang ura-ura pertukaran itu. Kalau diberi pilihan memang aku lebih selesa di SMK Lajau yang kuterajui belum menjangkau dua tahun itu. Masih banyak penambahbaikan yang perlu aku laksanakan. Murid-muridku masih jauh daripada mengamalkan budaya belajar, masih sederhana motivasinya. Guru-guru masih perlu bekerja keras untuk menaikkan imej sekolah. Kecemerlangan akademik masih jauh dari sasaran. Kecemerlangan kokurikulum dan sukan masih banyak untuk mengharungi cabaran khususnya pencapaian di peringkat kebangsaan. Sahsiah murid masih perlu dipertingkatkan. Masalah ponteng masih perlu diatasi. Tetapi kalau sudah arahan pihak atasan aku pasti akan akur arahan, symp! Aku pasti ada hikmah di sebaliknya. Khabar angin mengatakan aku akan dihantar ke SMK Mutiara, sebuah sekolah yang masih di tahap paling belakang dalam kalangan sembilan sekolah di W.P Labuan. Nampaknya aku akan jadi ”trouble shooter” lagi seperti penempatan pertamaku sebagai Pengetua di SMK Lajau pada 16 Jun 2006 dahulu.

Rasanya aku juga tidak kesal meninggalkan SMK Lajau kerana aku telah menjalankan tugas sebaik yang termampu. Walaupun pada perasaanku perubahan atau penambahbaikan yang kuterajui hanya dalam 30% sahaja. Setidak-tidaknya aku telah menanamkan dalam diri warga sekolah bahawa SMK Lajau pun mampu bersaing dengan sekolah lain di wilayah ini. Perubahan fizikal untuk kepentingan murid dan warga sekolah agak banyak juga. Telah ada Dataran Gemilang dengan dewan terbuka, pondok bacaan, pemasangan penutup longkang, pemasangan pancuran air, laluan berbumbung, naik taraf dataran perhimpunan ubah suai bengkel, pembaikan kecil lain serta yang besarnya tambahan bangunan sekolah meliputi makmal sains dan bengkel. Malah aku telah mengadakan mesyuarat penaja Alumni, dengan tujuan menyatukan bekas murid sekolah ini. Kenangan-kenangan manis kejayaan kokurikulum dan sukan misalnya, kejaguhan SMK Lajau dalam drama dan teater bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, pidato LHDN dan BPR serta pasukan nasyid juara Labuan mengalahkan SMK Labuan yang sudah tujuh tahun menjadi johan. Malah dalam sukan telah lahir olahragawati bawah 18 tahun perempuan adalah kejayaan seluruh warga sekolah.











Dari Bristol kami berempat menaiki kereta api menuju ke London. Pada ketika itu musim dingin telah di penghujungnya, menunggu peralihan musim berikutnya. Tengah hari itu kami sampai ke kota London, lebih kurang satu jam setengah perjalanan kereta api dari Bristol. Dari tengah kota London kami menaiki bas Euroline menuju ke Dover, yang mana jarak perjalanannya lebih kurang satu jam. Kami tiba di Dover menjelang petang. Dingin masih terasa walaupun musim dingin sudah berlalu.

Di Dover, kami menaiki feri besar untuk menuju Callais di Perancis. Memang agak besar feri yang kami naiki, tidak terasa kami berada di selat Inggeris itu. Tidak langsung terasa olengan ombak.Feri yang lengkap dengan tempat tidur dan dilengkapi dengan kemudahan restoran. Cepat sahaja perut kami terasa lapar, lalu kami memesan ”fish and chip” dan ”softdrink”.Terasa enak pula makanan di atas feri itu. Banyak juga makanan lain yang dijual di atas feri itu. Penumpang begitu ramai, tetapi kebanyakannya bangsa Eropah, tidak ramai penumpang bangsa Asia, kalau adapun orang Cina yang belum pasti dari Asia. Ingin bertemu orang Melayu jauh sekali, nampaknya kami beremapat sahaja orang Melayu yang berada di atas feri itu malam itu.

Terasa lama juga perjalanan dengan feri dari Dover ke Callais itu, tetapi tidak pula terasa mengantuk. Kami hanya berjalan-jalan dari tingkat bawah ke tingkat atas dan sebaliknya. Memang benarlah kata kawan-kawan kalau nak berjalan-jalan di Eropah, berjalan bersendirian lebih seronok berbanding mengikut agen pelancongan kerana kami tidak terikat dengan masa dan dalam keadaan yang terkejar-kejar. Puas kami berjalan-jalan di dalam feri itu, kemudian kami ke tingkat bawah semula agar lebih dekat dengan bas Euroline yang kami tempah awal-awal lagi semasa kami di Bristol lagi. Tambangnya tidaklah begitu mahal sangat,lebih kurang 100 pounds lebih sedikit, termasuk tempat tinggal dengan kos yang paling murah. Pada kami tempat tinggal dengan kos yang rendah sudah mencukupi bagi kami kerana tujuan kami untuk berjalan-jalan sahaja bukan untuk tidur dengan selesa. Asalkan dapat melelapkan mata sejam dua sudah memadai.

Pagi-pagi kami sampai di Callais, Perancis. Kami tertinjau-tinjau apabila turun di perhentian bas, tidak tahu ke mana hendak dituju. Aku mencadangkan agar kami mencari tempat penginapan kami dahulu. Lalu kami menaiki kereta api bawah tanah atau ”tube” setelah bertanyakan arah kota Paris dengan petugas kaunter tiket. Kelam-kabut juga kami apabila semua pertanyaan kami dalam bahasa Inggeris dijawab dalam bahasa Perancis.Mana kami faham bahasa Perancis. Macam ayam dengan itiklah.Lalu aku mendapat satu akal, aku bercakap jawa campur Melayu. Tergelak kawan-kawan aku mendengar aku berbahasa Jawa, mereka tidak memahaminya.
Setelah aku berbahasa jawa, barulah petugas itu bercakap Inggeris dengan kami. ”Hantu” betullah, rupanya dia tahu bercakap Inggeris. Fasih pulak tu! Terkena kami pagi-pagi buta hari itu. Barulah kami tahu rahsia orang Perancis, tidak akan berbahasa Inggeris jika kita memulakannya berbahasa Inggeris. Mereka sangat mendaulatkan bahasa ibundanya. Mereka mahu kita juga memulakan pertanyaan dalam bahasa ibunda kita walaupun mereka tidak memahaminya.


Dengan rahsia bahasa itu, akhirnya kami dapat juga sampai ke rumah tumpangan kami, yang merupakan sebuah ”youth hostel” Kami mendaftar masuk. Kami disambut ramah oleh petugas kaunter. Setelah meletakkan beg sadang yang di dalamnya beberapa helai baju dan kain serta makanan kering seperti serunding daging, kami menuju semula ke kota Paris. Hajat hati ingin melihat lebih dekat Eiffel Tower yang terkenal itu. Akhirnya sampai juga kami ke Eiffel Tower. Malam itu kami menikmati pemandangan malam kota Paris, kami berjalan-jalan menikmati kecantikan Eiffel Tower. Setelah penat kami pulang semula ke hostel, kepenatan, lalu tertidur selepas jamak Maghrib dan Isyak. Di hostel inilah kami terkejut kerana bilik airnya bercampur lelaki, perempuan. Apa lagi pagi-pagi aku bangun awal-awal dinihari kerana mengelakkan terkejut terserempak dengan perempuan di bilik mandi, tentu kami yang tidak biasa akan berasa janggal. Bagi mereka keadaan ini merupakan perkara biasa sahaja, masing-masing saling hormat-menghormati. Aku bertanya di kaunter hostel pernah kejadian sumbang dalam bilik air/bilik mandi yang bercampur ini, mereka berkata setakat ini tidak pula pernah berlaku perkara seumpama itu.

Esoknya kami berjalan lagi menyusuri kota Paris. Kali ini kami berempat ke Sungai Seine yang jernih airnya. Bot-bot pelancong menggamit pelanggan, tetapi kami dengan sumber kewangan yang terhad hanya sekadar menunjau bot dan sempat menjejak kaki ke dalam bot bertanya-tanya tambang dan arah haluan bot yang menyusur Sungai Seine. Di atas jambatan sungai itu, para pelukis tekun melukis potrait dan gambar pemandangan, kalaulah ada duit yang banyak tentu aku membelinya. Aku hanya sekadar memebeli lukisan poster yang agak murah harganya. Di atas jambatan itu juga penjual cenderahati barang buatan China yang harganya tidak begitu mahal.

Makanan di kota Paris mahal harganya, "fish and chip" sahaja yang kami makan, juga roti Perancis yang panjang sedepa yang kami pikul balik ke asrama, dimakan dengan serunding yang kubawa dari Malaysia. Untuk menambah tenaga aku membeli buah-bauahan seperti epal dan pear, segar dan selera aku memakannya. Mujurlah tekakku boleh menerima buah-buahan pengganti nasi. Ketika merayau-rayau di tengah kota Paris aku cuba membeli makanan roti kebab dari kedai Arab, rasanya tidak sedap langsung, susah hendak melepasi tekak untuk ke perut, kutinggalkan bakinya kepada rakanku tetapi mereka pun tidak begitu suka, akhirnya terbuang ke tong sampah, harganya mahal juga.

Esoknya kami menaiki kereta api ke perkampungan di luar kota Paris, kami main redah sahaja, tidak pasti ke mana kami tuju, yang kami hasratkan, ingin melihat bagaimana keadaan perkampungan luar kota. Kami sampai satu tempat yang seperti kota lama zaman dahulu, lengkap dengan tembok batu kelilingnya.Kami tidak pergi jauh lagi, mana tahu sesat pula susah hendak mencari asrama penginapan kami pula.

Sebelah malam kami ke Stesen Bas Euroline, mendapatkan bas untuk ke Amsterdam pula. Sesampai kami di stesen bas itu kami melihat pemandu bas bertengkar dengan seorang penumpang dalam bahasa yang tidak kami fahami, mungkin bahasa Perancis. Mereka benar-benar bertengkar macam orang hilang akal. Akhirnya penumpang itu akur, sambil memaki-maki tidak dapat menaiki bas bersama kami. Nasib baik kami dapat menaiki bas itu. Muka pemandu itu masam mencuka, sambil memandang kami meminta simpati seperti menagih simpati sangat-sangat supaya kami menyebelahi dia, kami hanya mengangguk-ngangguk kepala mengiakan, tetapi takut juga dengan penumpang itu yang macam orang hilang akal. Hilang rasa malu bermaki-makian dalam bahasa mereka, aku dengar macam orang Jawa mengamuk pula, ada iras bunyi Jawa atau Jepun pula, lucu ada, kseian ada. Malam itu kami menaiki bas dengan hati berdebar-debar sampai ke kami di Amsterdam Amstell seperti dalam peta yang kami beli siang tadi. Sepanjang malam kami keletihan, kurang bercakap, lalu terlelap. Sedar-sedar kami sudah samapai ke Stesen Amsterdam Amstell pada dinihari, entah berapa jam kami dalam perjalanan, tidak kami sedar langsung, kalau dicampak keluar bas pun kami tidak sedar. Entah di mana sempadan dua negara kami tidur mati!

Di Stesen Bas Amstell, kami mencari teksi menuju tempat penginapan, harga teksi tidaklah mahal sangat, kerana kiami menunggu siang sedikit walaupun dipujuk pagi-pagi lagi, aku agak macam di Kuala Lumpur, harga teksi tengah malam tentu mahal. Mata wang guilders agak rendah nilainya berbanding mata wang France.

Kami meletakkan barang-barang kami kerana kami belum boleh "check in" Setelah meletakkan barang-barang kami, kami ke tengah bandar Amsterdam. Melihat terusan berselirat di tengah kota. Melihat bunga-bunga yang cantik, termasuk pokok bunga popi dan pokok ganja yang dijual bebas, kami pegang sahaja, mana berani nak membelinya. Ada juga kasut kayu buatan Holland termasuk model kasut kayu semacam teropah, cantik juga kelihatannya, harganya tidak begitu mahal tetapi kami mengambil keputusan tidak membelinya kerana terlalu "bulky"

Kami berjalan lagi mencari bot untuk menyusur terusan yang membelah kota Amsterdam, sungainya jernih sekali, tidak macam Sungai Kelang atau Sungai Gombak di Kuala Lumpur. Harganya 13 guiilders seorang , tidaklah terlalu mahal, mungkin sekarang harganya sudah berkali ganda naik. Selepas itu kami menyusur lorong kota Amsterdam, pelacur secara terbuka melambai dari tingkap bilik menggamit kami, kami senyum sahaja, bahaya HIV Aids menyeramkan kami. Di Muzium Sex yang terkenal kami masuk juga melihat tamadun sex dari serata dunia, macam-macam gambar dan model sejak zaman dahulu kala, ada persetubuhan manusia dengan binatang amat menjijikkan, ada lesbian, ada homoseks macam-macam ragam manusia dengan nafsunya. Kami masuk bukan kerana mengejar ghairah tetapi sekadar ingin tahu sahaja, tidak lebih dari itu. Untuk teladan dan boleh diceritakan kepada rakan-rakan dan keluarga apabila pulang.
Tarikh 18 April aku ke Kuala Lumpur mewakili Pengarah menghadiri Konvensyen Munsyi Dewan IV di Hotel Crown Princess. Mulanya aku dijangka hadir untuk upacara perasmian pada keesokan harinya oleh Timbalan Menteri Pelajaran, walau bagaimanapun aku maklumkan kepada Pengarahku lebih bermanfaat aku tumpang turut sebagai pemerhati setelah dibenarkan oleh urus setia konvensyen Saudara Mohd. Noor. Jadi aku akan hadir dalam setiap sesi meskipun tiada rehat hujung minggu kerana melibatkan hari Sabtu dan Ahad, tidak mengapalah, asalkan aku dapat manfaatnya, lebih-lebih lagi aku memang amat cinta akan bahasa Melayu, sastera dan budaya Melayu.

Aku menginap di Hotel City Villa di Chow Kit. Tempat tinggalku telah diaturkan oleh sahabat baikku Mahayadin Daud, atau lebih dikenali dengan panggilan Jin’s dalam kalangan rakan-rakan. Entah mengapa ketika aku sampai bilik yang sesuai menghadap ke KLCC bilik bernombor 1412 iaitu bersebelahan dengan bilik sahabatku itu. Seperti biasa bilikku itu telah dibayarkan oleh sahabatku, berjumlah RM400.00, semalam RM80.00 (kadar istimewa) diberikan oleh pihak pengurusan hotel. Begitulah perangai baik sahabatku itu, dia telah awal-awal membayarkan bilik penginapanku. Dia cuma memesan supaya membawakan coklat seperti kebiasaannya. Ada sekali aku ingin membayar balik bayaran bilik hotel, aku diberi amaran olehnya, kalau nak terus bersahabat dengannya jangan gaduh-gaduh nak bayar. Tapi kali ini ada kelainan yang aku rasakan kerana sebelum ini biasanya dia akan memesan aku membawakan satu atau dua cartoon rokok tetapi sebaliknya kali ini, katanya tidak perlu bawa rokok cukup bawa coklat katanya. Aku akur dengan permintaannya dan aku membawakan coklat untuknya. Aku tahu coklat yang aku bawakan bukan dia yang makan semuanya tetapi dia akan memberikan kepada kakitangan hotel dan rakan-rakan sepejabatnya.

Setelah mendaftar masuk hotel malam itu, lebih kurang jam 900 malam, dia terus mengajak aku ke “coffe house” dan minta aku memesan makanan, dia mencadangkan aku makan kuetiau hong kong spesial. Aku setuju dengan cadangannya. Ketika itu anak buahnya bernama Lan ada bersama kami. Dia juga minta dipotongkan kek coklat untuk kami makan bersama. Memang aku agak lapar kerana makanan dalam kapal terbang sekarang agak kurang menyelerakan tekakku. Selepas makan malam itu kami bersama beriringan naik ke bilik masing-masing.

Pagi esoknya, sahabatku pergi bekerja seperti biasa walaupun kesihatannya baru pulih daripada sakit beberapa minggu sebelumnya. Aku pula ke pejabat koperasi guru di Kompleks Damai untuk mendapatkan maklumat tentang koperasi kerana di Labuan kami sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menubuhkan koperasi pelajaran W.P Labuan (KOPELL). Aku berjumpa Kak Junaidah di KOGUMA dan kakitangan di sana dan sempat berbual melalui telefon dengan Encik Zul, yang sudah lama bergiat dalam koperasi guru meminta nasihatnya. Aku juga sempat singgah ke Koperasi KGM mengumpulkan borang dan maklumat berkaitan.

Selepas itu aku kembali ke hotel, dan menjenguk ke ”coffe house” dan melihat sahabatku dengan pemandu pejabat bernama Ali sedang duduk berbual sambil minum. Aku terus menyertai mereka dan sahabatku meminta sama-sama membuat pesanan makanan. Sekali lagi dia mencadangkan aku makan kuetiau tapi kali ini tukar masakan lain, aku memesan kuetiau goreng penang. Dia pula dengan Ali memesan kuetiau ”hong kong” special. Sahabatku berulang-kali menyatakan amat merindui aku yang agak lama tidak datang ke Kuala Lumpur. Memang agak lama aku tidak ke Kuala Lumpur, kecuali ketika aku membawa peserta Larian Emas di Putrajaya, awal bulan Mac lalu, itu pun kami tidak sempat berjumpa. Begitu juga ketika aku ke Johor Bahru menhgadiri Kolokium Kajian Tindakan beberapa minggu lalu kerana kapal terbang hanya transit di KLIA. Katanya dia pulang awal ke hotel selepas menyelesaikan tugas luar pejabat, waktu itu hampir solat Jumaat. Kami rancak berbual-bual ketika itu. Sahabatku berulangkali menyatakan ingin membuka perniagaan sendiri iaitu kedai menjual jamu, dan sedang mencari tapak yang sesuai. Dia pernah menyatakan ingin opsyen awal, bersara pilihan, dan pernah ingin berniaga di Labuan. Acapkali aku mengajaknya datang ke Labuan dan aku akan tanggung makan minum dan penginapannya seperti yang kerapkali diberikan kepadaku, tetapi alasan yang selalu diberikannya, ”aku ni bukan sihat sangat, tak mahu jalan jauh-jauh.”

Selepas makan kami masuk ke bilik masing-masing, aku ke bilik 1412 dan sahabatku ke bilik tetapnya di 1414. Bilik yang pernah aku huni makan tidur dengannya pada akhir tahun 2003 lalu, selama sebulan selepas rumahku di AU2 aku sewakan. Dia marah bila aku kata ingin menyewa bilik di hotel itu. Katanya apa susah-susah nak membazir tinggal sahaja dengannya, tegasnya. Aku akur kehendaknya. Di bilik itulah nostalgia kami hampir sebulan tinggal bersama-sama. Sebelum ke Labuan sempat aku hadiahkan puisi bertajuk ”Sahabat” dan puisi dalam bingkai kaca itu diletakkan elok-elok di sebelah katilnya hingga kini. Di bilik itu juga aku tumpang tidur dan makan kalau aku datang seorang diri untuk semalam dua. Kalau aku dengan keluarga pasti dia telah menempah dua bilik untuk kami, ”satu untuk kau dengan Samsiah, dan satu lagi untuk anak-anak” katanya.

Petang Jumaat sebelum aku menghadiri Perasmian Konvensyen, sekali lagi dia minta aku makan bersama-samanya. Kami makan bertiga dengan Lan. Aku macam terasa sesuatu akan berlaku kerana selama empat hari aku bersama-sama makan petang, tutur katanya begitu ceria dan perkataan-perkataan yang diucapkan semacam ada yang tersirat, tiada lagi kata-kata yang mengusik dengan lepas kata macam biasa. Kenangan semasa kami di bangunan PPK di Persiaran Duta diulang-ulang, Katanya paling seronok semasa di Pesiaran Duta, sekarang katanya di PPK sudah kurang seronok kawan-kawan ramai yang sudah bertukar, bersara atau ”meninggal dunia” ”Aku ni pun entah tak tahu bila agaknya,” katanya. ”Tak sempat tambah bersara umur 60 kot,” ujarnya.. Apa yang aku amati kata-kata yang tidak mungkin aku lupakan ialah ”aku nak beli rumah di ”tanah”..yang ada tanah....” katanya.

Hari Sabtu dan Ahad seperti biasa aku menemankan makan petangnya, sahabatku suka sangat makan ikan kembung goreng, ikan bawal masak tiga rasa hanya disentuh sedikit sahaja, dia minta aku dan Lan menghabiskannya, dia kelihatan seronok sungguh melihat kami makan dengan berselera, maklumlah ikan kembung bakar yang masih panas.

Petang Isnin aku agak lewat pulang ke hotal. Aku dan peserta konvensyen melawat DBP. Hampir jam empat baru aku sampai ke hotel. Penat betul petang itu Aku terus ke bilik 1412, selepas solat jamak qasar Zohor dan Asar aku terlelap seketika, terdengar macam bunyi telefon. Bila aku angkat terputus, kulihat nombor HP sahabatku. Spontan aku terus mendail. Dia bertanya, ”di mana kau” katanya. Aku kata di dalam bilik. Dia terus mengajak aku turun ke ”coffe house” ”mari makan buah katanya.” Entah mengapa walaupun mataku begitu mengantuk tetapi spontan aku katakan” ok aku turun sekarang.” tanpa banyak soal seperti selalu. Di bawah aku lihat sahabatku berseorangan di kerusi dan meja biasanya berdekatan dengan kaunter dapur.”Mari makan buah lai” dia orang(pekerja hotel) telah potongkan. Aku makan bersamanya, selera betul dia makan, sedang kami makan, datang Dr Razali, bapa saudaraanaya menyertai kami.Sahabatku seperti biasa ceria berbual terntang politik negara, isu semasa dan tetap memegang prinsip tegasnya dalam berhujah. Kalau kami amat-amati layak kata-katanya sepetah seorang peguam menang bicara. Hampir sepinggan kami makan buah lai. Lepas itu, dia minta kuih bingka untuk dimakan, kakitangan hotel membawa tiga ketul bingka dan sandwish, dia kata nak makan bingka, selera benar dia makan,

17 NOVEMBER 2008

Hari ini hari paling gembira sejak bertugas di Labuan kerana pada hari ini aku menerima surat kenaikan pangkat dari DG44 ke DG48 yang disampaikan oleh Pengarah Pelajaran Labuan, bersama rakanku KS SPPK Encik Ismail Abdullah serta dua guruku yang dianugerahkan Guru Cemerlang DG44 serta beberapa guru lain yang dinaikkan pangkat. Aku juga bangga bagi pihak Warga SMK Lajau apabila menerima tahniah daripada mentor kami Datuk Mary Yap Kain Ching yang memberi Ceramah ProD (Pemimpin 5 Level dan Pemimpin 360 darjah atas kejayaan sekolah menerima Naib Johan dalam Pengurusan Kewangan dan Akaun pada Hari Kualiti KPM pada 2-5 November baru lalu. Terharu juga apabila menerima tahniah dengan ucapan dan melalui sms daripada Encik Omar Baki bin Matusin, KS SPS di JPN Labuan. Aku turut menerima tahniah daripada kedua-dua mantan Pengarah JPN Labuan Encik Awangku Ali dan Encik Ahmad A. Staun pada sebelah malam, juga daripada rakan-rakan lain, juga daripada isteri tersayang, Samsiah Taib dan anak-anakku.

Kalau difikir-fikirkan sebagai ibu bapa kita akan berasa bangga apabila melihat anak bertambah dewasa, menyambung pengajian di peringkat universiti. Apabila melihat gambar anak-anak di bingkai gambar nampak bertambah dewasa anak-anak kita, ada rasa kepuasan yang sukar dimaknakan dan dirasai, hanya kita sahaja yang merasainya. Ketika melihat gambar anak sulungku Amirulhusni dengan jubah diploma dan ijazah, nampak segak dia. Tambahan pula sekarang sedang menyambung ke peringkat sarjana di universiti yang sama, rasa bangga dan syukur saling bertaut. Susah payah ibu bapa mengeluarkan belanja yang bukan sedikit semacam terbalas walaupun tanpa wang ringgit. Kejayaan cemerlang sebenarnya lebih bermakna. Mendapat Ijazah pertama Kelas pertama bukan sesuatu yang mudah untuk diperoleh.

Melihat bingkai pada dinding, gambar anak kedua Aizat Amzar, dengan segak berpakaian uniform Kadet Tentera Laut, rasa seronok menyelinap di jiwa sudah besar anak-anakku. Anak kedua kami, juga seorang lelaki, membuktikan usaha bersungguh-sungguh akan membuahkan hasil berpada. Dengan kelulusan SPM 8A, dia menerjunkan diri ke gelanggang latihan tentera mengambil jurusan "Technology Marine" walaupun mulanya berminat untuk menjadi anggota TUDM, kerana kuota terhad menukar jurusan bakal pegawai TLDM. Syukur kami ke hadrat Ilahi. Nampak gagah dalam beberapa keping gambar dalam bingkai tersangkut pada dinding. Tahniah anak-anakku, hujung tahun ini 2009, tamatlah latihan di Universiti Pertahanan dan Universiti Teknologi Malaysia, dengan Ijazah pertama, hampir serentak dengan Amirulhusni yang akan menamatkan Ijazah sarjananya dalam bidang "Construction Management" dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam. Walaupun masih belajar di uiversiti, masing-masing telah memiliki kereta, seorang memandu Wira Aeroback yang kutinggalkan semasa berhijrah ke Labuan tahun 2003 lalu, manakala adiknya Aizat Amzar menerima durian runtuh sebuah kereta baru Saga Model terbaru, yang ditinggalkan oleh ibunya yang bertukar dari Johor Bahru ke Kota Kinabalu Ogos 2008 lalu. Itu rezeki mereka berdua nampaknya.

Tetapi sudah kami ingatkan mereka berdua, pengajian peringkat PhD mereka kena tanggung atau tajaan universiti kerana kami masih mempunyai tiga lagi anak perempuan iaitu, Nabihah, sedang menunggu SPM, Nadiah akan mengambil PMR hujung tahun ini, dan anak bungsu kami, Naqibah masih di Tahun Empat. Belanjanya pasti banyak apabila mereka ke kolej atau univesiti kelak, kami kena berjimat-cermat.

Kalau diikutkan hati kami mahu sahaja menjualkan rumah kami yang satu-satunya milik keluarga, yang kini harganya sudah mencecah setengah juta ringgit, tetapi kami sayang untuk menjualkannya kerana itulah harta kami untuk warisan keluarga kami, dan sekarang sewaannya yang kami kutip kurang sedikit RM2000.00 sebulan, anak-anak pun menyatakan sayang jika dijual kerana harga rumah di Kuala Lumpur akan terus meningkat. Tetapi kalau harganya mencecah satu juta ringgit kenalah kami jualkan untuk membeli rumah lain agaknya.

No comments:

Post a Comment