Saturday, February 28, 2009

PUISI-PUISIKU SEJALUR KEHIDUPAN

HARI MINGGU
(SAMSA HARRIS)

Hari Minggu di sini
tidak pernah membawa mesra
tiada lagi pelukan bonda
pagi hari membancuh kopi sendiri
baju sebaldi belum bercuci.

Hari Minggu di sini
menghirup kopi susu tak bergula
bertemankan senaskah akhbar
menghitung lubang-lubang kecil di
dinding
merenung siling yang kosong
bersawang.

Hari Minggu di sini
tak pernah berakhir
nada kebosanan
lagu syahdu tanpa erti
mencuri sekeping hati yang sepi.


Akhbar Warta Tebrau 22.4.1982





















KETIBAAN
(SAMSA HARRIS)


Ketibaan dalam keharuan
meninggalkan
halaman di kejauhan bumi johor
bertuah
tiupan serunai mengalun malam
dingin
laguku yang sepi di perantauan
menjadi dagang yang baru bernafas
suasana yang asing
di satu tempat yang baru
kerinduan
bertapak di hatiku
terkenangkan angin desa yang
nyaman.

Sungguh aneh kurasakan di sini
tidak seperti selalu
aku sering bermanja
belaian yang sukar kulupakan
dalam ketibaan ini
satu tekad dan azam
mahu bertapak dan bernafas di
bumi lain
untuk sementara aku rela
menghadapi saat perpisahan.

Memang memilukan
begitu syahdu begutu rindu.
suasana dan angin baru
kuharapkan segar memeluk
kedamaian
debar yang telah kunantikan
akan tiba juga nanti
keharuan.
aku masih mengharap
ketenteraman
ketenangan tanpa gangguan
aku telah tiba di sini


Akhbar Warta Tebrau 13.5.1982

KEPINCANGAN
(SAMSA HARRIS)

Mengatur langkah
mencari arah
memecah bosan
di bayangan keharuan
terlonta memenuhi harapan
tak mampu berdiri
segagah mungkin
di satu sudut.

Ucapan tahniah
sudah tidak bermakna
di bawah lambang-lambang
keangkuhan
yang mencengkam
tangan-tangan cinta
terpaksa.

Bayangan keyakinan
tak sempat menyapa malam
yang semakin suram
di tepi puncak
gerimis mulai menitis
membasahi sekujur tubuh
yang pincang.


Akhbar Watan 25.3.1983
















SALAM PUISI
(SAMSA HARRIS)

Bebayang jejaring
dari kamar sebelah
terbenam di dinding kamarku
membawa sejuta resah
menggarap salam puisi
suara kekasih
di medan rindu malam ini



Akhbar Mingguan Perdana 1.5.1983
































BEGINI KAMI DI SINI
(SAMSA HARRIS)

Kami di sini
memang bernasib begini.

Tanah merah berdebu
menutup mata
ketika kemarau tiba.

Tanah merah berlumpur
memeluk roda-roda basikal tua
ketikaa hujan tiba.

Malam dingin cahaya malap
pelita minyak tanah
anak-anak sekolah membaca buku.

Paip tembaga hadiah pilihan raya
mengalir sekali-sekala
sekejap Cuma.

Bilakah?
elektrik ganti pelita minyak tanah
paip tembaga mengalir selalu
tanah merah bertar baru!




Akhbar Watan 27.5.1983















MIMPI
(SAMSA HARRIS)

i

Malam tadi aku bermimpi
berdiri di sebuah kompleks membeli-belah
sambil pandangan menuju ke pulau
mata merenung gunung berkabus
mata menatap cahaya bulan
mata mendakap sinar matahari
menunggumu
menunggumu pulang dari pejabat.

ii

Suara bayi kehausan susu ibu
di telinga di kotak fikiran
langkah mengejar kekasih semakin hampir
aku pun berdiri tenang
menyekat pengejar itu
kerana tidak rela
bayiku
bayiku kehilangan ibu.

iii

Mimpiku terjaga
di bawah redup subuh dingin
suara azan memanggil
memanggil kekuatan imanku
menghadap Tuhan!


Sudut Sastera RTM Kuala Terengganu Mei 1983











AKU MASIH MENCARI
(SAMSA HARRIS)

Azam yang dijerat kepayahan
pertemuan yang dipendekkan
cincin di jari manis
masih tersarung
kesetiaan tak tercemar
mahligai impian
di hujung musim ini.

Sepi masih terkapar
di hujung pemandangan
kota mencabarmu
masih belum dapat kusatukan
dengan desa pedalaman ini.

Aku masih mencambah cinta
mengalir mercu harapan.

Dari hari ke minggu
ke bulan ke tahun
atau ke abad
puisi yang kutulis
tidak akan selesai
selagi masih ada pencarian!



Sudut Sastera, RTM, Kuantan
















SATU PENGARUH
(SAMSA HARRIS)

Telah menular ke sini
di desa terpencil
membawa penipuan dan keangkuhan.
Anak-anak yang baru
mengenal buku sekolah
lewat tidur malamnya
pagi-pagi lagi
menguap panjang
mata layu yang cengkung
filem yang ditonton
masih berlegar d fikirkan
guru bersuara
dari tembok ke tembok.

Apa mungkin generasi nanti
berakal beku tanpa ilmu
dipandu robot video
tidak mampu mencari
fikiran baru.
Atau hanaya penerima
tanpa ilham.

Kita harus berani membersihkan
segala dosa belum sebati ini
dari tubuh anak-anak generasi
menyekat pengaruh penularannya
dari membenam ke dada
melentur buluh semasa rebung
memelihara kesopanan kita!


Akhbar Watan 3.6.1983











KESEPIAN
(SAMSA HARRIS)

Segalanya sepi
berlalu kosong
ke batas kenangan
di lapisan sejarah
tahun-tahun silam
membawaku ke alam
paling cemerlang.

Tahun berlalu
ikatan termetri
menanti detik-detik
penuh bahagia
harapan ditenun sepi
di tepi halaman desa.

Kepuasan belum terisi
ibarat mimpi datang dan pergi.

Kehadiranmu
kesepian telah terkapar
di sudut rindu.


Akhbar Watan 16.9.1983



















KEHILANGAN
(Dedikasi Allahyarham Ahmad Boestamam)
(SAMSA HARRIS)

Kepulanganmu ke rahmatullah
mengikut kalendar-Nya
tertulis di loh mahfuz
dunia pagi enam rabiul akhir
pemergianmu tidak ditangisi
dengan ratapan
hanya sekalung Fatihah tanda kasih
di pusara.

Meninggalkan semua kenangan
hilangmu tokoh
perjalanan berwarna-warni
kepedihan hidup
keteguhan azam cita-cita
menggunung berbaur
dengan tinta sejarah tanah air.

Pesananmu adalah lambang titian cita-cita
politik perjuangan
malah bunga sastera
menjejaki alam nyata
hidup keras dan keinginan
bernafas, berdarah, dan berjiwa.

Kusanjung budi nilai perjuangan
dalam sekalung doa
semoga allah menerima
kepulanganmu
penegak bangsaku!


Sudut Sastera, RTM, Kuala Terengganu 5.3.1984










KETIBAAN
(SAMSA HARRIS)

Telah tiba di sini dengan sejuta ketenangan
salam manis dari desa kelahiran
berkunjung ke tempat baru
menjanjikan kecemerlangan
menenun masa depan yang masih jauh.

Rasa mesra menerpa dengan bisikan
angin rantau tanpa tangisan
meninggalkan kenangan dengan surat pertukaran
masih tergenggam di tanganmu
tergamam menangguhkan keberangkatan
bersamaku di sini.

Kukhabarkan berita manis
sering tiba dalam mimpi
mencari arena perjuangan
pencarian ini di mana hujungnya?

Berkongsi kasih meneroka lorong kehidupan
meredah belantara belayar di lautan
dugaan menganga di mana-mana
menanti kita ketika tiba di sini.

Mintalah izin kotamu
yang melukiskan segala kenangan
menumpang di bawah bumbungnya
berangkat ke tanah subur ini.

Kau tiba dengan langkah pahlawan
tanpa membakar api sengketa
seperti musim-musim yang lalu
bisikan setia pun terucap lembut.


Sudut Sastera RTM, Kuala Terengganu 23.10.1984









KEHIDUPAN DARI DUA SUDUT
(SAMSA HARRIS)

Di satu sudut
dia terbaring
di perut laut
di lain sudut
aku tertiarap
di dada belantara.

Berenang di gelombang
semakin perlahan
berlari di ranjau
tanpa keupayaan.

Betapa sengat sembilang
bisa meresap ke tubuh
begitu tajam onak dan duri
merentap-rentap di kaki.

Meronta-ronta di air
menggelupur di tanah
dia dan derita luka
nelayannya
dan peneroka belantara
menempuh cabaran.


Sudut Sastera RTM, Kuala Terengganu 1984
















DETIK-DETIK KUNTUM BERPUISI
(SAMSA HARRIS)

Dalam detik kuntum berpuisi
anak kucing berlari
menuju bukit berjurang tinggi
meredah paya lembah berduri.

Dalam detik kuntum berpuisi
anak telanjang bertubuh sekeping
menuju sawah ibu tiri dikhuatiri
sampai di sana dimaki hamun
belum mandi sendiri.

Dalam detik kuntum berpuisi
awan hitam berlari
turunnya hujan tengah hari
membanjiri seluruh negeri.

Dalam detik kuntum berpuisi
pengemis menunggu di kaki lima
dengan surat rasmi
mendatangi sesiapa
seringgit dua tanda simpati?

Dalam detik kuntum berpuisi
ada duka senyum sendiri.


Sudut Sastera, RTM, Kuala Terengganu 1984
















KEKOSONGAN
(SAMSA HARRIS)

Mengapa kekosongan ditemui
ketika membaca suara hati
dan meneliti
petikan demi petikan.

Mungkin tiada sesiapa
mampu menipu dirinya
ketika mencari sesuatu
dengan kerakusan luar biasa.

Sesiapa pun harus memenuhkan
kekosongan yang wujud
ke seluruh tumpuan
dari mata hati
dan fikiran sedar.

Ulang pandaang
ulang fikir
mengisi ruang-ruang kosong
bertaburan bagai titik-titik halus
di permukaan kertas.


Sudut Sastera, RTM, Kuala Terengganu 7.1.1986



















PENCARIAN
(SAMSA HARRIS)

Tahun-tahun berlalu meniti usia
menuju kedewasaan
kita masih terus mencari
segala rahsia terpendam di puncak menara
sekali-sekala bermesra
bertemu dan berpisah
kini kian hampir
di penghujung perjalanan
ke mercu kecemerlangan.

Musim berbunga akan tiba
mencanai ketabahan
menuntut kesabaran
dalam harum semerbak kejayaan
para dewasa terus menimba
butir-butir kematangan
sambil berbisik kata-kata manis
pada bayu kesegaran
pencarian ini adalah warna tinta
sepanjang usia.


Májalah Pelapor PPLK, USM, Pulau Pinang 1989


















MENUJU KE MANA PARA INTELEK DI BATAS RUANG WAKTU?
(SAMSA HARRIS)

Sekian lama di sini terbelenggu
para intelek di bawah buku
para intelek di puncak menara gading
beku dalam timbunan nota kuliah
sesak nafas dan kaku tugasan demi tugasan
hingga suatu senja terlena di perpustakaan
tanpa katil dan tilam empuk.

Hari ini tangan menggengam erat
segulung ijazah di konvokesyen
akan terlepaskah belenggu
di mana-mana terpapar
di mana-mana terdampar
para intelek bingung dan resah
mengumpul iklan di akhbar
berbaris di pejabat buruh.

Masihkah para intelek terbelenggu
berbekal ilmu, yakin, dan amal?.....



Majalah Pelapor PPLK, USM, Pulau Pinang 1989





















PERJALANAN
(SAMSA HARRIS)

I
Ketika senja mula menampakkan
Wajah jelitanya
Ketika burung-burung terbang mencari
Tempat persinggahan
Kami melenggang pulang dari satu perbukitan
Yang lapang di puncak Minden.

Di sini bagai terkurung di penjara air
Namun minda terbebas lepas lari
Menjalari dunia.
Ketika di sini tiada lagi habuk terampai
Di atmosfera atau karbon monoksida membaur udara kota.

II
Ketika di sini rindu mimpi
Di kota dan hujau belantara
Semalam pengail dari kota
Menabur umpan ikan, udang, dan sotong
Menebar harapan kehidupan mengembara
Di hujung jeti pada malam gelita.

III
Kembali kenangan di sini di kota ini
Ketika banjir pesta
Mengumpulkan tua muda di dataran terbuka
Melewati batasan waktu yang mahal nilainya.

IV
Dalam singkat perjalanan ini
Tangan Kundasang melambai ramah.

Ketika ”Bundu Tuhan” kukenal hati budimu
Lalu meredah paya basah
Lembah hijau ke kaki Kinabalu.

V
Perjalanan ini
Dengan seluruh tumpuan mata hati dan fikiran sedar
Merenung dalam dinding kehidupan
Sabar, tabah dalam debar keyakinan
Diri hingga ke hujungnya.

Minden, 1990
KEGIGIHAN – Epilog buat Profesor Dr. Zainal Datuk Ghani
(SAMSA HARRIS)

Kau datang juga
Walaupun tanpa pancaindera visual
Bersama berdebat bersama berbincang
Seperti dulu di meja mesyuarat utama pusat.

Kusanjung budi bicaramu
Tabah mengharungi perjalanan ini
Tanpa rasa resah atau kecewa
Terlukis di wajahmu.

Ketika memimpinmu dari tingkat tujuh
Ke kenderaan di bawah bangunan
Kurasakan hangat tanganmu
Sehangat sumbanganmu profesor
Demi seluruh warga
Membangun minda anak-anak
Membentuk potensi diri.

Kegigihanmu
Mengajarku erti kehidupan.

Kuala Lumpur 09.02.1995





















SUATU WAKTU
(SAMSA HARRIS)

Senja itu
Tercatat resah
Di perjalanan waktu
Ketika bersama
Di jantung berdebar
Menuju pangkalan.

Malam itu
Terbina kata-kata
Dalam ruang-ruang
Kesangsian mencabar
Di bawah bumbung harapan
Mencari rela dan setia.

Esok
Di kota ini
Terungkap kasih
Ketika melihat
Sepasang merpati
Meniti ranting
Di hadapan riak tasik berkocak.

Kuala Lumpur, 26.06.1995
Akhbar Watan 30.07.1995



















APOLOGI – kepada guruku
(SAMSA HARRIS)

Bertemu guruku
Kini bergelar profesor madya
Mengutip madu kebijaksanaan
Menyambung kelangsungan.

Selamanya aku
Menghormatimu
Kau guruku
Abadi dan teguh
Jasamu di kalbu.


Port Dickson, 17 November 1995
Akhbar Watan 05.05.1996





























DI BAWAH BAYANG MANILA
(SAMSA HARRIS)

Sesak nafas di bawah
bayang metro Manila dan Makati
dari laluan ke Tagaytay kian
menyempitkan kotak mindaku
kerana di sini melihat
sesaknya hidup
kanak-kanak tidak pernah
kenal abjad
guru, buku, dan bilik darjah
menjaja usia dengan
sejambak bunga
dan rokok dihulur tawar
kepada pelancong
melihat dengan sebelah mata
menagih simpati di bawah
jambatan dengan
kertas akhbar dan kotak lusuh
bangun daripada tidur
tanpa mandi dan tidak
pernah bertanya
mana sayang ayah dan ibu
yang tidak lagi mereka temui.

Di lorong belakang jalan pintas
Jeepney raja jalan raya dari
Quezon City ke Quabo atau Qiapo
dan Delta
Kediaman setinggan
sepanjangnya
terbukti kata teman-teman
memang benar Manila kota sakit
entah bila akan sembuh.


Akhbar Watan, 18.6.1996








PAGI RAYA
(SAMSA HARRIS)

Pada pagi ini dengan teksi bertiga
Menuju Masjid Totterdown di pinggir kota
Pagi dingin mengumpulkan umat Muhammad
Dengan ucapan Bismillah melangkah masuk
Amat asing di sini kerana hanya kami dari
Malaysia
Dengan bahasa al-Quran khutbah sunat aidil fitri
Dengan adat berbeza kami bersatu penuh khyusuk
Mengingatkan masjid tanah air yang sesak
Khutbah
Dengan bahasa kami spontan kami difahami
Apakah kurangnya di sini
Islam tetap satu menyatukan ummah
Walaupun di mana berada
Dengan kepuasan terbenam di dada
Melangkah dengan baju Melayu
Kami tetap Melayu walaupun kami di sini.


Masjid Totterdown, Bristol, United Kingdom 8.2.1997
Akhbar Watan 30.03.1997






















PERANG DAN CINTA
(SAMSA HARRIS)

Petang ini di sebuah pawagam ingatan meneropong
Jauh
”Ke zaman silam, memang benar kata Tongkat Warrant
Perang telah membunuh segala mesra
Perang berlangsung mencari untung tanah jajahan
Perang membunuh bayi dalam buaian
Perang berlangsung menghancurleburkan nilai
Kebudayaan,”
Ketika menyelongkar sejarah hidup Ernest
Hemingway
Ketika berlangsung perang di benua ini
Menceritakan kisah cinta kepada negara
Adalah protes nilai diri perbuatan pemimpin gila
Perang
Memaksa askar tanpa pangkat bunuh-membunuh
Sesama mereka
Hinggakan cinta terhalang cemburu memaksa
Perpisahan
Hinggakan kekasih melupakan nilai sebuah
Perkahwinan
Dan maut memanggil kembali pada usia 92
Memang benar kata pujangga cinta bukan puncaknya
Di gerbang perkahwinan kerana cinta adalah di hati.

Bristol, United Kingdom 27.3.1997
Akhbar Watan 30.03.1997

















PARLIMEN
(SAMSA HARRIS)

Di sini kau bicara terbuka
Dengan keberanian menerima protes
Dotonton berjuta warga untuk menilai
Kelantangan mp mereka
Menelanjangi masalah negara
Tanpa sebarang keraguan
Cabar-mencabar bukan lagi cerita baru
Untuk dibanggakan rakyat
Hanya kebiasaan
Dari satu penggal ke penggal baru
Memilih pemimpin menerajui kerajaan.

Bilakah bicara parlimenku
Dapat ditonton seluruh warga
Antara wibawa kerajaan dan cabaran
Pembangkang
Ikhlas menerajui pimpinan negara.


Bristol, United Kingdom 27.02.1997
Akhbar Watan 30.03.1997






















KEPULANGAN –Mengenang pemergian Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad
(SAMSA HARRIS)

Pagi membaca berita di paparan internet
Mengejutkan sama teman-teman di sisi
Kepulanganmu ke Rahmatullah
Dua puluh tiga Syawal
Dalam penerbangan melawat ibu sakit
Di tanah kelahiran
Adalah kehilangan bangsa yang kau
Mulakan langkah membangun
Ekonomi negara pada abad ini
Bersama kebanggaan lotus dan proton
Yang menjangkau luar negara
Membasah cemburu usahawan seluruh dunia
Apakah rahmat di sebalik kepulanganmu?
Dalam hangus sebuah helikopter peribadi
Yang turut meragut nyawa isteri abadi dan
Juruterbang berjasa
Dari sini kuhadiahkan sekalung
Fatihah di pusaramu
Penegak ekonomi bangsaku!



Bristol, United Kingdom 3.1.1997
Akhbar Watan 11.05.1997



















PERJALANAN
(SAMSA HARRIS)

Berjalan lagi
Menyusuri
Lorong bawah tanah
Kota london
Yang kukunjungi
Ketika usia
Hampir seabad
Madame Tussauuds
Planetrium
Melihat betapa
Bangsa bertamaddun
Melupakan asal
Kejadian ketika
Ukiran patung-patung
Pelbagai tokoh negara
Dijadikan bahan
Bergambar kenangan
Siapakah yang
Menoleh tanpa sedar
Menelanjangi
Akal dan budi.


Bristol, United Kingdom
Akhbar Watan 11.05.1997


















KEPUASAN DIRI
(SAMSA HARRIS)

Kepuasan terisi
di sebalik ”rostrum”
untukku bersapa
ketika ucapan tahniah YB Menteri
di pembesar suara
lantas
orang kecil
orang besar
melimpah kata
mohon diperbanyakkan
untuk dibaca
untuk dikongsikan
seorang satu
setiap peserta persidangan
membuat penilaian sendiri-sendiri
tanpa sangsi
terima kasih kalian
yang sudi bertepuk
selepas
”Salam Kasih Khazanah Bahasa”
kuterjemahkan
di dewan terbuka.

Kepuasan diri
terisi
untuk mengulanginya
demi anak generasi
tidak hilang bahasaku
tidak kupersia bahasamu!



Pearl International, Kuala Lumpur 13.11.2000










KAU YANG KUKENAL – Dedikasi Mohd Noor Samat, bersara 6 Disember 2006
(SAMSA HARRIS)

Sedetik mengenalimu telah kukenal hati budimu
pada gerak watak dan gerak laku
terserlah pada laku dan tutur bicara
pada sopan santun pada pekerti
pada tegas bijaksana
menyerap tali silaturrahim
persahabatan insan.

Sedetik mengenalimu telah kukenal hati budimu
pada sederap melangkah berjuang demi anak-anak SMKSI tercinta
semangat bersatu kami pimpinanmu
bersatu hati tanpa prasangka atau sengketa bermuka-muka
memuncak kejayaan cemerlang
anak-anak didik dahaga ilmu
kata perangsang kasih sayang
telah terbina pasak kukuh
menjanjikan kejayaan
seluruh warga SMKSI
menjulang nama.

Sedetik mengenalimu telah kukenal hati budimu
pada hari-hari terakhir
seorang penjawat awam dalam perkhidmatan
esok kau melambai selamat tinggal
kami merakam ucapan selamat jalan
terima kasih setulus ikhlas
atas bimbingan tunjuk ajar
belajar setasik pengalaman
semoga terus diberkati dan dirahmati-Nya.

Teruskan senyuman
usah kau kesalkan kerana esok
kau bergelar YB!



10 November 2006 pada Majlis Persaraanmu Tuan.






PADA JAMUAN PERSARAANMU-dedikasi Sr. Mary Germaine Appollonio
(SAMSA HARRIS)

Di sebuah hotel terkemuka di wilayah ini
pada penghujung perkhidmatanmu
pada ramah senyum sapamu
kami terasa kehilangan sahabat
dalam perkhidmatan yang kita pilih sendiri
esok lusa kami akan menyusul
dalam pelbagai rasa pada wajah yang tidak sukar kami meneka
ada rasa gembira kerana kau telah menunaikan tanggungjawab mulia
berenang di lautan cabaran ini selama lebih suku abad berlalu
ada rasa pilu meninggalkan kebiasaan seharian bersama seluruh warga
yang kulihat tetap menyanjung dan menyayangimu
dalam pelbagai rasa kami hanya meneka
yang merasa kau sendiri kelak kita bercerita
pada kesempatan yang kunjung datang
kami sentiasa menerimamu
sahabat yang disenangi semua
semangat tabahmu akan kau bawa
menerokai alam luas terbentang yang
kian luas terbentang untuk meneruskan kecenderunganmu
menjejaki setiap inci bumi dalam pengembaraan fizikal
menambah pengalaman kebijaksanaan yang mendewasakan akal kental
meneruskan perjuanganmu
menjalin akrab persahabatan sesama insan
kerana kami tahu kau diterima di mana-mana.




Hotel Grand Dorset, W.P Labuan
28 Februari 2008













PERUBAHAN
(SAMSA HARRIS)

Mas kau telah menukar
menu sarapan pagiku
kebiasaan nasi lemak atau roti canai
dengan secawan milo panas
pagi ini
dihidang menú bertaraf antarbangsa?
apakah ini
diet seimbang
atau pengurangan kos
pramugara pramugari tidak lagi
menolak troli
makanan dalam kotak menarik
dengan kek dan yogurt
untuk kebaikan penumpang setiamu
demi menjana kukuh
ekonomi negara
mampukah bertahan
kecemerlangan yang baru
menjulang angkasa
penerbangan
untuk negara tercinta
bernama malaysia
bukan untuk
mengisi dana
sekumpulan teknokrat
mencari untung mudah
atau demi seluruh rakyat?




Labuan-KLIA
29 Februari 2008











PERJALANAN
(SAMSA HARRIS)

Di lapangan terbang wilayah ini
kami membawa tanggungjawab
memelihara maruah wilayah
membawa visi kecemerlangan
dengan anak-anak yang kian bersemangat
meraih pingat dalam perjuangan lusa
di jalan raya putrajaya
bukan mustahil menambah nilai
kerana antara kalian
yang telah menyerlah di peringkat kebangsaan
dengan dua emas
dan sebutir gangsa di peringkat asean
tahun lalu
tahun ini dengan doa
seluruh warga sewilayah ini

Hasil wajar
satu emas wirawati kita
bawa pulang ingatan
warga sepulau ini
juga tambahan
tempat kelapan
bawah 12
ceria wajah semua
perjalanan pulang
disambut di lapangan terbang
ks dan rakan-rakan
mewakili jabatan
aku hanya menyampaikan salam kejauhan.



Labuan-KLIA
2 Mac 2008

1 comment: