Saturday, March 7, 2009

HASRAT HATI MENJADI PENGETUA

MENGAPA SAYA MENJADI PENGETUA? (SAHAR MISRON, SMK LAJAU)

Impian menjadi pengetua tercetus ketika saya sedang mengikuti program sarjana saya di University of Bristol, United Kingdom pada Tahun 1997. Ketika di sana saya dan rakan-rakan sempat melawat sekolah-sekolah berhampiran universiti serta berpeluang melawat University of Oxford dan University of Cambridge. Terdetik dalam fikiran, alangkah seronoknya jikalau dapat menerajui sekolah atau universiti semasa dalam perkhidmatan dengan kerajaan. Sebaik tamat mengikuti program sarjana dalam bidang “Management, and Language Teaching” dan menerima ijazah sarjana saya bertekad untuk meninggalkan Pusat Perkembangan Kurikulum(PPK), di Persiaran Duta, Kuala Lumpur bukan kerana “benci” tetapi kerana inginkan “kelainan” dalam perkhidmatan sebagai penjawat awam. Semoga pengalaman 15 tahun di PPK sejak zaman Dato’ Asiah Abu Samah sebagai Pengarah hingga zaman Tuan Haji Rauf Hussein (sekarang Dato’) dengan 10 pengarah bukan satu jangka waktu yang singkat, juga pengalaman bertugas di tiga sekolah jenis kebangsaan Cina di Pahang amat berguna untuk menerajui sekolah.

Akhirnya peluang terbuka luas apabila pada Tahun 1999, saya terbaca siaran pekeliling untuk mengikuti Program Kelayakan Kepengetuaan Kebangsaan (NPQH-sekarang NPQEL) Kohort 1, di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands. Lantas saya menyuarakan hasrat kepada Pengarah PPK ketika itu Dr. Noor Azmi Ibrahim (Sekarang Datuk – mantan TKPPM) memohon restu beliau. Beliau tiada halangan walaupun ketika itu persediaan untuk perancangan program pembelajaran sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) sedang rancak berjalan, saya yakin Saudara Mokelas, sahabat saya boleh meneruskannya untuk peringkat akhir sebelum pelaksanaan di sekolah. Proses Taksiran untuk mengikuti program NPQH bukannya mudah, kami terpaksa melalui beberapa fasa yang amat mencabar, seperti ujian EQ dan IQ, kemahiran komputer, ujian kecerdasan dan simulasi serta temu duga. Syukur saya berjaya melepasi tahap mencabar taksiran dan mengikuti program selama setahun di IAB.Lulus.

Tamat kursus NPQH, Jun 2000 saya ditempatkan di SMK Yaacob Latiff, Jalan Peel, Kuala Lumpur lima bulan, sebagai KB Kemanusiaan sebelum menjadi “caretaker” sebuah sekolah baru iaitu SMK Setapak Indah, Kuala Lumpur sebagai Penolong Kanan 1, merangkap PK HEM, dan PK Kokurikulum peringkat awal. Tiga tahun saya menjadi penolong kanan, peluang berhijrah tidak saya lepaskan apabila isteri tersayang ditawarkan berkhidmat di W.P Labuan. Saya melepaskan jawatan PK dan menjadi guru Bahasa Melayu dan Geografi di SMK Pantai, W.P Labuan selama sebelas bulan, sebelum “diarahkan” berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Perkhidmatan dan kemudiannya Ketua Sektor Sektor Pengurusan Perkhidmatan Pelajaran di Jabatan Pelajaran W.P Labuan mulai 1 Disember 2004 hingga 15 Jun 2006. Selepas itu, saya diarahkan menjadi Pengetua di SMK Lajau, W.P Labuan mulai 16 Jun 2006, menggantikan Tuan Haji Mohammad Abu Bakar yang bersara. Walaupun ada yang berpendapat saya “diturunkan pangkat” dari Jabatan Pelajaran kembali ke sekolah. Tetapi mereka tidak tahu, bagai “pucuk dicita ulam mendatang” kerana impian saya menjadi pengetua dikabulkan Tuhan.

Biarlah saya berkhidmat sebagai Pengetua di sekolah demi anak-anak Labuan tercinta sehingga bersara atau sehingga saya “diarahkan” ke mana-mana tanpa diminta!

1 comment:

  1. Sdr bertuah.Setiap insan ada prinsip dan perjuangan.Perjuangan ada di mana-mana.Untuk mengetahui lebih lanjut layari blog: tiub bocor blogsopt.com/

    ReplyDelete