Saturday, March 7, 2009

KENANGAN SILAM

MANIS DAN PAHITNYA DI SINI (OLEH: SAMSA HARRIS)

Aku tidak pernah terfikir untuk berhijrah ke Wilayah Persekutuan Labuan. Labuan sebuah pulau yang indah dan menarik untuk dikunjungi. Seingatku hanya sekali sahaja aku pernah sampai ke pulau ini, iaitu semasa “transit” dalam perjalanan kembali dari Sabah ke Kuala Lumpur pada tahun 1980-an dahulu. Itupun sekadar berada didalam kapal terbang. Tidak kuduga kunjunganku kali ini untuk terus menetap di sini setelah hampir dua puluh tahun bertugas di Kuala Lumpur.

November Tahun 2003 aku tiba di Pulau Labuan untuk bersama-sama isteri dan anak-anaku menyambut Hari Raya Aidul Adha. Aku juga merupakan calon menumpang dalam peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) pertama dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada Tahun 2003. Setelah menyelesaikan tugasku sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Setapak Indah, Kuala Lumpur, aku mempunyai sedikit waktu untuk membuat persediaan dan ulang kaji PTK di tepian pantai Pohon Batu di pulau ini.

Secara rasmi aku memulakan tugas di SMK Pantai, W.P Labuan mulai 1 Januari 2004, walaupun aku melapor diri lebih awal di SMK Pantai, iaitu pada 18 Disember 2003, iaitu selepas menduduki peperiksaan PTK. Aku masih ingat aku menduduki PTK di SMK Mutiara, yang sebelumnya dikenali sebagai SMK Membedai. Aku juga sempat menghadiri Mesyuarat Guru pertama yang diadakan pada 30 Disember 2004.

Pada awal tahun, iaitu 3 Januari, aku bersama-sama beberapa orang guru baru dan guru sedia ada memulakan sesi persekolahan di SMK Pantai. Aku ditugaskan mengajar subjek Bahasa Melayu dan Geografi, Tingkatan 1, 2 dan 3. Aku terima jadual waktu mengajar dengan hati terbuka. Bermula kembali rutinku sebagai “guru biasa” yang harus ditukar istilah dengan “guru luar biasa” mengajar kumpulan murid yang agak asing dan latar belakang kehidupan sebuah pulau yang berbeza sama sekali dengan murid pinggir kota di sekolah lamaku di Kuala Lumpur. Aku dapati kebanyakan guru masih muda-muda belaka dalam usia dua puluhan dan tiga puluhan, seorang dua sahaja yang melewati usia empat puluhan, termasuk diriku yang berusia lebih 45 tahun. Aku seboleh mungkin menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan persekitaran yang ada. Aku tidaklah terasa asing di sini kerana lebih 90% guru berasal dari Semenanjung Malaysia.

Bagiku sama sahaja sama ada mereka dari Semenanjung Malaysia atau dari Sabah, Sarawak atau dari W.P Labuan. Padaku keadaan kini sudah jauh berubah. Aku meletakkan diri bagai perumpamaan “di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung” Yang penting anak-anak muridku adalah tetap anak-anak Malaysia yang perlukan tunjuk ajar, didikan dan bimbingan yang tidak ada bezanya. Hanya lokasi geografi yang membezakan kampung halaman mereka. Cuma yang merisaukan aku sebagai guru ialah tahap motivasi muridku yang agak rendah dan tidak berfokus. Aku menyesuaikan dengan keadaan persekitaran mereka. Kaedah “berkawan” dan pujukan kurasakan kaedah terbaik untuk mendekati mereka.

Secara berhati-hati aku mendekati muridku agar mereka tidak terkejut dengan perubahan drastik yang boleh membosankan mereka. Aku tidak sekali-kali menyalahkan mereka. Mungkin keadaan mereka yang kurang terdedah dengan cabaran hebat kehidupan menyebabkan mereka kelihatan terlalu “santai” Apa yang lebih memeranjatkan aku ialah apabila aku membuat tinjauan awal setiap kelas yang kuajar atau kelas ganti, aku dapati sebilangan mereka agak mengabaikan hal “solat” Kebanyakan mereka lalai untuk mengerjakan solat Subuh, malah ada kelas yang hampir 80% daripada mereka tidak bersolat Subuh pada hari kutanyakan soalan itu. Perkara ini memeranjatkan aku. Kaedah memujuk dan menyelami hati budi dan penghayatan dalaman sedikit sebanyak mengubah tanggapan mereka.

Setiap hari aku “memujuk” mereka dengan pendekatan psikologi, cuba meningkatkan tahap motivasi diri murid-muridku, dan menyelitkan dengan unsur kecindan yang boleh menarik mereka. Unsur paksaan tidak memungkinkan perubahan dalaman mereka. Walaupun aku sedar ketegasan perlu digunaan sebaik mungkin. Sepatah kata orang tua-tua, “dalam kelembutan ada ketegasan”

Syukurlah, ada antara muridku yang menunjukkan perubahan dalam jangka masa singkat. Mereka sedar peripentingnya ilmu kepada mereka, untuk bekalan hari akan datang. Melalui aktiviti kokurikulum semangat juang mereka agak terserlah. Peluang ini aku pergunakan sebaik-baiknya. Aku sama-sama turun ke padang bersama-sama mereka, malah aku mendekati mereka dengan menghantar mereka hingga ke halaman rumah mereka jika aktiviti lewat petang. Malah aku turut menjemput mereka ke rumah untuk mengikuti kelas malam secara percuma, dan ada yang kuhantar pulang dengan kereta ke rumah mereka. Aku gembira dengan kesungguhan sebahagian daripada muridku yang berusaha untuk menghadapi peperiksaan PMR.

Aku juga diamanahkan oleh Pengetua sekolah untuk merancang aktiviti kecemerlangan akademik khususnya untuk persediaan PMR. Dan aku berterima kasih kepada Pengetua yang memberi kepercayaan untuk aku melaksanakan tugas selaku Setiausaha Kurikulum Sekolah. Malah beliau memberi sepenuh sokongan apabila aku mencadangkan sasaran 100% lulus PMR Tahun 2004. Walaupun pada peringkat mula mendapat semacam bantahan daripada beberapa orang guru tentang sasaran itu tetapi Pengetua memberi sokongan padu dan bersetuju dengan sasaran ini. Aku sebenarnya ingin membangkitkan semangat guru-guru agar melipatgandakan usaha dengan keupayaan dan tenaga muda guru-guru.

Aku juga diberi mandat untuk menjadi Pengerusi Kelab Guru SMK Pantai tahun 2004. Aku anggap sebagai cabaran untuk menjadi perantara antara guru dengan pihak pentadbir sekolah, dan aku tahu bukan tugas mudah untuk melaksankannya. Syukurlah, dengan kerjasama seluruh warga guru dan staf segala tugas dapat dilaksanakan dengan semangat sepasukan walaupun pada satu ketika wujud semacam “konflik” yang cuba dicetuskan oleh seorang dua guru yang cuba menguji kepimpinan pengetua. Teguran kepada sekolah yang kuanggap tidak profesional dan lebih kepada serangan peribadi. Sekalung tahniah kepada pengetua yang berjaya mengatasi “konflik” itu dengan tindajan “berani” beliau., yang akhirnaya guru itu ditukar ke sekolah lain.

Tempoh bersama murid di sekolah nampaknya amat singkat sekali. Dalam satu majlis Hari Q Jabatan Pelajaran yang sempat aku hadiri, aku semacam terbau sesuatu akan berlaku. Daripada kata-kata Pengarah Pelajaran ketika itu, Encik Ahmad A. Staun yang menyatakan, “pihak sekolah harus bersedia untuk melepaskan guru mereka jika dikehendaki.”

Tidak lama selepas majlis itu, aku diminta hadir ke Jabatan Pelajaran di Bukit Kalam tanpa pengetahuan Pengetua. Petang itu juga aku diminta bertemu Encik Omar Baki bin Matusin, Ketua Sektor Sektor Pengurusan Sekolah (SPS), merangkap Timbalan Pengarah Pelajaran ketika itu. Aku ditemu duga oleh Encik Omar Baki. Selepas itu, aku dibawa berjumpa dengan Pengarah Pelajaran. Aku dirisik untuk diambil secara pentadbiran di Jabatan Pelajaran. Kataku, “aku akur dengan arahan Pengarah kalau itu adalah arahan!” Malah Pengarah menyatakan tentang pelepasan pengetua sekolah “adalah urusan saya, you balik ke sekolah macam biasa, seperti tiada apa-apa yang berlaku”

Sehari sebelum cuti akhir tahun persekolahan, aku menerima faks, meminta aku melaporkan diri di Jabatan Pelajaran W.P Labuan mulai 1 Disember 2004. Aku hanya sempat bercuti beberapa hari sahaja. Rupanya hanya 11 bulan sahaja aku berada di sekolah. Mulai 1 Disember 2004 aku melaporkan diri sebagai Penolong Pengarah Unit Perkhidmatan, Sektor Pengurusan Perkhidmatan Pelajaran.

Mulai 15 April 2005, aku diminta memegang jawatan Ketua Sektor sektor berkenaan selepas Encik Jakariah bin Kechok bertukar ke SPP, Kota Kinabalu. Mulai 16 Jun 2006 aku darahkan bertukar sebagai Pengetua di SMK Lajau pula.






















PILUNYA TERGURIS RASA (OLEH: SAMSA HARRIS


Hari ini 10 April 2006, hatiku tersayat apabila TP “menyerang” sektorku dalam perhimpunan bulanan yang lewat diadakan, ketika menunggu kehadiran Pengarah yang melawat Sekolah Menengah Sains Labuan pada awal pagi. Hatiku menangis apabila serangan terbuka ditujukan kepada stafku yang mengendalikan hal kiriman dan terimaan surat-menyurat Jabatan. Namun aku mengambil keputusan tidak menjawab bukan kerana takut tetapi adalah lebih baik diam agar kebenaran akan terbukti kerana aku telah mendapat makluman awal daripada stafku perlakuan seorang pegawai SPS yang “sengaja mencari punca salah” stafku. Ini telah kujelaskan kepada Pengarah terlebih dahulu dan bukan niatku untuk berperang. Usia sebenarnya mendewasakan kita! Hatiku tidak terpujuk walaupun Pengarah Pelajaran secara terbuka mengucapkan tahniah kerana aku dinaikkan pangkat ke Gred DG44. Aku seolah-olah tidak dapat merasakan kegembiraan atas ucapan itu, bukan aku tidak menghargainya tetapi kerana teramat pilu dengan kata-kata TP sebelum perhimpunan rasmi bulanan pagi ini. Aku tidak dapat menghayati kata-kata Pengarah walaupun aku cuba senyum, tapi aku tahu senyumku hambar dan terpaksa!

Aku akan bercakap dari hati ke hati dengan stafku supaya lebih berhati-hati melaksanakan tugas supaya tiada ruang untuk seseorang meletakkan kesalahan di bahu kami. Yang penting keikhlasan kita bertugas. Allah Maha Mengetahui dan akan menunjukkan kebenaran. Aku akan berbincang dengan mereka supaya satu sistem yang teratur diwujudkan untuk dilaksanakan demi kepentingan Jabatan bukan atas kepentingan individu!

Dalam mukadimah Mesyuarat Sektor tengah hari itu, aku bercakap penjang lebar secara tersirat isu yang wujud dan cuba memujuk anak buahku. Dan aku tegas dengan prinsipku diam lebih baik daripada berkonflik dengan orang lain. Aku dapat merasakan hati mereka yang terhiris dengan isu yang timbul setelah bermati-matian meaksanakan tugas tanpa mengira waktu, Sabtu dan Ahad atau cuti umum mereka kep pejabat tanpa paksaan. Seorang dua meluahkan isi hati sebelum ini, kepuasan bekerja agak tergugat dengan isu remeh-temeh yang seolah-olah sengaja diada-adakan tidak tahu untuk tujuan apa. Padaku kalau tenagaku tidak diperlukan di Jabatan ini, berterus-terang sahaja, aku bersedia mengundur diri kerana aku di Jabatan bukan meminta-minta bagai peminta sedekah. Bagiku bertugas di mana-mana sama sahaja, yang penting gembira dan tiada tekanan kerja dan suasana harmoni wujud di Jabatan ini.

Apakah ura-ura Pengarah untuk meletakkan aku di sekolah disalah tafsir pegawai lain. Bulan hadapan seorang Pengetua akan bersara. Aku tahu Pengarah juga tentunya sukar memikirkan pengganti pengetua tersebut. Mungkin niat Pengarah ikhlas kerana beliau maklum aku kebetulan mempunyai sijil NPQH walaupun gred DG44 ku masih terlalu baru kalau dikira tahun. Perkara ini pernah dibayangkan oleh Pengarah dan bukan menjadi rahsia di kalangan stafku, hinggakan CC ku pernah menyatakan ingin memohon bertukar ke sekolah sedangkan beliau adalah staf hakiki Jabatan, katanya keseronokan bekerja tiada lagi di pejabat. Aku cuba memujuknya supaya kekal di jabatan. Kataku bekerjalah seperti biasa, dengan ikhlas dan jujur semoga Allah membalas kebaikan yang kita laksanakan.

Kalau difikirkan secara singkat aku sendiri rela kembali ke sekolah walaupun hanya sekadar mengajar di kelas. Namun ada tugasan yang belum selesai untuk membantu memulihkan Jabatan ini daripada segala kesilapan lalu yang dilakukan oleh beberapa orang pegawai berkaitan tatacara perolehan yang tidak teratur dan cuba membantu membaiki segala kepincangan dan kelemahan jabatan yang agak kritikal dan berada pada tahap serius. Bukan salah mereka mungkin tetapi kerana kurang pengalaman dan kurang memahami peraturan. Pada pemerhatianku sedikit-sebanyak mereka mula mematuhi peraturan, cuma segelintir mereka yang agak liat berubah.

Aku juga sedar kedudukan diriku sekadar pegawai “sangkut” di jabatan. Terpulang kepada kebijaksanaan Pengarah mengendalikan situasi yang timbul ini. Biarlah beliau sedar staf di SPPP telah mengorbankan sebahagian besar masa yang sepatutnya bersama keluarga tetapi demi tugas mereka rela melaksanakan tugas tambahan tanpa paksaan. Segalanya atas dasar tanggung jawab, dan mereka sentiasa berusaha membaiki diri. Harapanku biarlah semua warga SPPP akan kembali ceria, gembira, dan seronok bekerja. Begitu juga diriku, akan cuba mengawal diri dengan ketabahan, kesabaran dan keyakinan serta semangat juang tidak mudah luntur dan “Emotional Quotent” yang tinggi. Ya Allah, berikanlah petunjuk kebenaran kepada kami!


SAMSA HARRIS
W.P Labuan 10 April, 2005





















KENANGAN DEMI KENANGAN(OLEH: SAMSA HARRIS)



Kematian rakan karibku Jin’s (Mahayadin Daud) yang menginap di Hotel City Villa, Kuala Lumpur, meninggal dalam pangkuanku dalam perjalanan ke hospital.

Tarikh 16 Jun 2008, aku melaporkan diri bertugas sebagai Pengetua SMK Lajau, W.P Labuan. Sekolah ini hanya sebulan tidak ada Pengetua setelah Tuan Haji Mohammad Abu Bakar bersara pada 16 Mei 2008. Dengan berbaju hijau pucuk pisang aku datang awal pada hari pertama di SMK Lajau, hanya seketika aku di sekolah kerana aku terpaksa bergegas ke Dewan Konvensyen di Ujana Kewangan untuk pengelolaan majlis rasmi yang mana SMK Lajau menjadi jawatankuasa cenderamata. Kulihat Puan Dona Undoh, Penolong Kanan Tadbiran dan Kurikulum bekerja kuat.

Tarikh 4 November 2008 menjadi kenangan sepanjang perkhidmatan dengan kerajaan Malaysia kerana pada pagi ini aku menerima ”mock checque” bernilai RM15,000.00, sebuah tropi (RM250.00) serta sijil daripada YB Menteri Pelajaran Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein di Dewan MAEPS Serdang (Dewan MARDI) kerana SMK Lajau, W.P Labuan tempatku bertugas dianugerahkan Anugerah Kualiti Pengurusan Kewangan Peringkat Kebangsaan Kategori Sabah/Labuan. Aku bersama PT N22 Encik Azahari bin Abd. Rahman serta Encik Hamka Mat Daud menerima anugerah. Kejayaan sekolah kami adalah kejayaan bersama atas usaha semua warga memastikan sekolah terkeluar daripada Audit Berteguran apabila aku melaporkan diri ke SMK Lajau pada 16 Jun 2006, selepas itu kami tidak menoleh lagi dan menerima Audit Tanpa Teguran tiga tahun berturut-turut.. Seronok tak dapat aku bayangkan. Aku berjumpa teman-teman bekas Ketua Sektor SPPP Negeri Kelantan, Tuan Hj. Jaafar (Kini PPD Pasir Mas/ Tumpat, Saudara Hilmi JPN Kelantan serta KS SPPP Negeri Selangor Tuan Haji Sairimin (Kini Pengarah IPG Ipoh), rakan NPQH Saudara Jaapar dan beberapa orang rakan lagi yang sama-sama menerima anugerah. Seronok juga menerima tahniah daripada rakan lamaa di MPRM Saudara Osman Alauddin serta Cik Marhanum daripada Bahagian Korporat dan Organisasi KPM, juga Saudara Azmi Sayuti bekas guru ICTku di SMK Setapak Indah kini pegawai BBT, KPM serta staf sokongan PPK Pn. Maggie serta seorang staf lagi yang kulupa namanya tapi ingat wajahnya.

No comments:

Post a Comment