Sunday, March 15, 2009

PERJALANAN PERTAMA KE LUAR NEGARA

CATATAN PERJALANAN
(OLEH: SAMSA HARRIS)

Perjalanan pertamaku ke luar negara ialah pada 5 Mei, Tahun 1996. Aku meninggalkan rumah jam 8.30 pagi. Aku bersarapan dengan keluarga di Kampung Baharu, lalu singgah sebentar di Yaohan The Mall (sebuah kompleks membeli-belah), untuk menukar duit Peso sebagai bekalan di Filipina nanti.

Di lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Kuala Lumpur, aku masuk ke bilik menunggu jam 12.56 tengah hari. Kemudian baru kuketahui, temanku Mohd. Salim Taufik Rashidi datang ke lapangan terbang tetapi aku telah berada di dalam. Aku ke Gate 11, tetapi ditukar ke Gate 8. Kebanyakan yang bersamaku untuk terbang ke Manila orang Filipino dan Cina. Wajah Filipino saling tak tumpah wajah orang Malaysia, tetapi aku dapat mengagak mereka Filipino daripada gaya dan telor percakapannya.. Memang sukar dibezakan jika dilihat sekali pandang. Mungkin mereka menyangka aku Filipino. Tepat sekali sangkaanku kerana semasa di di dalam kapal terbang ”Phillippines Airlines” penerbangan PR0508, seorang nenek menegurku dalam bahasa Inggeris yang fasih, menyangkaku Filipino.

Nenek itu rupanya seorang guru sekokah rendah berumur 63 tahun dari Batangas, yang akan bersara dua tahun lagi, punya sarjana dan sempat memuji Malaysia yang aman, makmur dan harmoni. Beliau ialah Madam Emereciana Sario yang datang ke Malaysia mengunjungi anaknya yang bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat binaan dan tinggal di Cheras, Kuala Lumpur.

Kami tiba di Lapangan Terbang Ninoy Aquino, Manila tepat jam 4.30 petang. Aku sangat terkejut apabila kedatanganku disambut oleh sekumpulan jurugambar dan wartawan yang berpusu-pusu mengerumuni aku sambil mengambil gambarku dari pelbagai sudut. Aku tergamam bercampur bimbang, tetapi seronok pun ada, kalau beginilah mereka menyambut orang Malaysia, hebat ni!Adalah dalam tiga empat minit aku macam bintang filem/pembesar negara, sambil bersalaman dengan pegawai-pegawai lengkap berkot.. Rupanya mereka salah orang kerana menyangka aku ketua rombongan daripada World Bank, yang mana mereka agak jauh di belakangku. Satu pengalaman paling menarik pertama kali menjejakkan kaki di Manila. Akhirnya mereka sedar apabila salah seorang daripada mereka menggeleng-gelengkan kepala dan bercakap-cakap sesama mereka sendiri dan akhirnya ketawa beramai-ramai kerana kesilapan mereka, sambil melambai-lambaikan tangan mereka. Aku sebenarnya tergamam bercampur bimbang.

Mujurlah mereka hanya wartawan dan jurugambar akhbar, apa kata kalau aku salah seorang daripada sasaran oleh pelampau/pengganas yang mahu menembak seseorang. Boleh berkecai kepala. Kemudian baru aku sedari kawalan di dalam kawasan lapangan terbang Ninoy Aquino begitu ketat, bukan sebarangan orang dibenarkan masuk kecuali pegawai dengan kebenaran khas dan penumpang sahaja dibenarkan masuk dan berada di dalamnya. Aku berasa lega dengan keadaan itu. Tetapi di luar lapangan terbang belum tahu lagi.

Aku disambut oleh seorang lelaki bertubuh kecil pendek tetapi lincah yang mengenalkan diri sebagai OG, itupun setelah aku menegur secara rambang terlebih dahulu. Bertuah punya OG, hendak menguji aku agaknya kerana beliau menyorokkan sepanduk peserta SEAMEO Innotech, ataupun beliau malu membawa sepanduk itu secara terang-terangan.

Katanya, kami terpaksa menunggu agak lama kerana kenderaan yang sepatutnya menjemput aku baru sahaja meninggalkan lapangan terbang membawa peserta dari Indonesia, yang kemudian aku kenali sebagai Dr. Susanto, teman sebilikku di ”International House” Innotech. Lapangan terbang Ninoy Aquino tidaklah sebesar dan sehebat Lapangan Terbang Kuala Lumpur. Semasa menunggu ketibaan seorang peserta dari Thailand dan menunggu kenderaan, aku berkawan dengan nyamuk yang banyak berterbangan di kawasan luar lapangan terbang. Mungkin nyamuk yang dibela khas untuk menghisap darah orang yang pertama kali tiba di kota Manila. Aku berbual-bual dengan OG, katanya esok 6 Mei 1996 ialah hari membuang undi pemilihan pemimpin remaja berumur 18 hingga 21 tahun seluruh Filipina dan merupakan hari kelepasan am. Namun begitu, esok juga akan disempurnakan acara pembukaan kursus kami ” Two-Weeks Course on Development of Productive Thinking.

Dua minggu berkursus di SEAMEO Innotech, Quezon City, Filipina mencatatkan sejarah tersendiri dalam kerjayaku sebagaI pendidik. Makanan halal sukar diperoleh di sini. Apa yang kami dari Indonesia, Malaysia dan Brunei ialah memasak nasi dan lauk dalam “rice cooker”yang kubawa dari Malaysia, pada waktu rehat tengah hari dan waktu malam, apa lagi goreng ikan, masak sardin(buatan Malaysia) dan ikan bilis d dalam “rice cooker” Kami juga sempat membuat kenduri makanan halal dengan menyembelih ayam secara sembunyi-sembunyi untuk menjamu semua peserta kursus dan pensyarah kami. Akulah yang menjadi tukang sembelih ayam. Kebetulan di kantin itu, ada pekerjanya beragama Islam, beliaulah yang sama-sama "mengerjakan" ayam untuk digoreng dan masak kari. Meriah juga majlis kami malam itu. Kenangan manis di Quezon City ialah bersolat Jumaat, di University of Phillipines di seberang jalan tempat kami berkursus. Di sini yang seronoknya ialah untuk menyeberangi lebuh raya enam lorong, terpaksa mengangkat tangan tinggi supaya kenderaan memperlahankan kelajuannya. Juga paling menyeronokkan ialah menaiki kenderaan yang dipanggil "jeepney", yang mana kita menghulurkan duit kepada pemandu kenderaan melalui penumpang di hadapan kita, kalau di Malaysia tak tentu sampai kepada pemandunya! Itulah nilai baik yang terlihat menjadi budaya "mempercayai" orang lain, walaupun sebilangan besar remaja perempuannya terjebak dalam gejala sosial seperti pelacuran tetapi masih ada nilai murni yang diamalkan. Terima kasih Filipina yang "mengajarku" sedikit pengalaman dalam hidup.

Catatan kedua perjalanan: United Kingdom, France, Holland, Belgium akan menyusul.



-TAMAT-

Saya mengesahkan bahawa karya ini adalah karya asli saya sendiri. Terima kasih.

CATATAN PERJALANAN:

OLEH: SAMSA HARRIS (SAHAR BIN MISRON)
K.P: 590503015793
SMK Lajau, Peti Surat 81514,
87025 W.P Labuan

Tel: 012-9128609

No comments:

Post a Comment