Saturday, March 7, 2009

SAJAK-SAJAK SAMSA HARRIS

HARI MINGGU

Hari minggu di sini
Tidak pernah membawa mesra
Tiada lagi pelukan bonda
Pagi hari membancuh kopi sendiri
Baju sebaldi belum bercuci.

Hari minggu di sini
Menghirup kopi susu tak bergula
Bertemankan senaskhah akhbar
Menghitung lubang-lubang kecil di dinding
Merenung siling yang kosong bersawang.

Hari minggu di sini
Tak pernah berakhir
Nada kebosanan
Lagu syahdu tanpa erti
Mencuri sekeping hati yang sepi.

Akhbar Warta Tebrau 22-28 April 1982

























KETIBAAN

Ketibaan dalam keharuan
Meninggaalkan
Halaman di kejauhan bumi Johor
Bertuah
Tiupan serunai mengalun di malam
Dingin
Laguku yang sepi di perantauan
Menjadi dagang yang baru bernafas
Suasana yang asing
Di satu tempat yang baru
kerinduan
Bertapak di hatiku
Terkenangkan angin desa yang
Nyaman.

Sungguh aneh kurasakan di sini
Tidak seperti selalu
Aku sering bermanja
Belaian yang sukar kulupakan
Dalam ketibaan ini
Satu tekad dan azam
Mahu bertapak dan bernafas di
Bumi lain
Untuk sementara aku rela
Menghadapi saat perpisahan.

Memang memilukan
Begitu syahdu
Begitu rindu.

Suasana dan angin yang baru
Kuharapkan segar memeluk
Kedamaian
Debar yang telah kunantikan
Akan tiba juga nanti
Keharuan.

Aku masih mengharap
Ketenteraman
Ketenangan tanpa gangguan
Aku telah tiba di sini.

Akhbar Warta Tebrau 13-19 Mei 1982


NAMAMU

Di batas ruang waktu
Kedinginan begini
Menyeru nama-Mu
Dalam rindu
Dalam sepi
Aku sendiri di sini
Memesrai nama-Mu yang Satu!

Akhbar Watan 31.12.1982



































KEPINCANGAN

Mengatur langkah
Mencari arah
Memecah bosan
Di bayangan keharuan
Terlonta memenuhi harapan
Tak mampu berdiri
Segagah mungkin
Di satu sudut.

Ucapan tahniah
Sudah tidak bermakna
Di bawah lambang-lambang
Keangkuhan
Yang mencengkam
Tangan-tangan cinta
Terpaksa.

Bayangan keyakinan
Tak sempat menyapa malam
Yang semakin suram
Di tepi puncak
Gerimis mulai menitis
Membasahi sekujur tubuh
Yang pincang.

Akhbar watan 25.03.1983

















SALAM PUISI

Bebayang jejaring
Dari kamar sebelah
Terbenam di dinding kamarku
Membawa sejuta resah
Menggarap salam puisi
Suara kekasih
Di medan rindu malam ini.

Akhbar Mingguan Perdana 01.05.1983




































PERBICARAAN

Satu percakapan
Di malam dingin
Penuh keriangan
Sama-sama ketawa memanjang
Dalam gurauan
Seperti sahabat lama
Yang baru bertemu.

Percakapan denganmu
Memberikan semangat
Lantas keazaman
Menebal di dada.

Kaulah guruku
Membunuh emosi
Menghancurkan hipokrit
Memanduku
Mencari caahaya
Terang di kaki langit.

Akhbar Watan 06.05.1983






















BEGINI KAMI DI SINI

Kami di sini
Memang bernasib begini.

Tanah merah berdebu
Menutup mata
Ketika kemarau tiba.

Tanah merah berlumpur
Memeluk roda-roda basikal tua
Ketika hujan tiba.

Malam dingin cahaya malap
Pelita minyaak tanah
Anak-anak sekolah membaca buku.

Paip tembaga hadiah pilihan raya
Mengalir sekali-sekala
Sekejap Cuma.

Bilakah?
Elektrik ganti pelita minyak tanah
Paip tembaga mengalir selalu
Tanah merah bertar baru!

Akhbar Watan 27.05.1983



















AKU MASIH MENCARI

azam yang dijerat kepayahan
pertemuan yang dipendekkan
cincin di jari manis
masih tersarung
kesetiaan tak tercemar
mahligai impian
di hujung musim ini.

sepi masih terkapar
di hujung pemandangan
kota mencabarmu
masih belum dapat kusatukan
dengan desa pedalaman ini.

aku masih mencambah cinta
mengalir mercu harapan.

dari hari ke minggu
ke bulan ke tahun
atau ke abad
puisi yang kutulis
tidak akan selesai
selagi masih ada pencarian!

Rancangan Sudut Sastera
Radio Malaysia Kuantan
30.05.1983


MIMPI

I
malam tadi aku bermimpi
berdiri di sebuah kompleks membeli-belah
sambil pandangan menuju ke pulau
mata merenung gunung berkabus
mata menatap cahaya bulan
mata mendakap sinar matahari
menunggumu
menunggumu pulang dari pejabat.

ll
suara bayi kehausan susu ibu
di telinga di kotak fikiran
langkah mengejar kekasih semakin hampir
aku pun berdiri tenang
menyekat langkah pengejar itu
kerana tidak rela
bayiku
bayiku kehilangan ibu.

lll
mimpiku terjaga
di bawah redup subuh dingin
suara azan memanggil
memanggil kekuatan imanku
menghadap Tuhan1

Rancangan Sudut Sastera
Radio Malaysia Kuala Terengganu
Mei 1983
















SATU PENGARUH

Telah menular ke sini
Di desa terpencil
Membawa penipuan dan keangkuhan.
Anak-anak yang baru
Mengenal buku sekolah
Lewat tidur malamnya
Pagi-pagi lagi
Menguap panjang
Mata layu yang cengkung
Filem yang ditonton
Masih berlegar difikirkan
Guru bersuara
Dari tembok ke tembok.

Apa mungkin generasi nanti
Berakal beku tanpa ilmu
Dipandu robot video
Tidak mampu mencari
Fikiran baru.
Atau hanya penerima
Tanpa ilham.

Kita harus berani membersihkan
Segala dosa belum sebati ini
Dari tubuh anak-anak generasi
Menyekat pengaruh penularannya
Dari membenam ke dada
Melentur buluh semasa rebung
Memelihara kesopanan kita!

Akhbar Watan 03.06.1983













KESEPIAN

Segalanya sepi
Berlalu kosong
Ke batas kenangan
Di lapisan sejarah
Tahun-tahun silam
Membawaku ke alam
Paling cemerlang.

Tahun berlalu
Ikatan termetri
Menanti detik-detik
Penuh bahagia
Harapan ditenun sepi
Di tepi halaman desa.

Kepuasan belum terisi
Ibarat mimpi datang dan pergi.

Kehadiranmu
Kesepian telah terkapar
Di sudut rindu.

Akhbar Watan 16.09.1983



















KETIBAAN

telah tiba di sini dengan sejuta ketenangan
salam manis dari desa kelahiran
berkunjung ke tempat baru
menjanjikan kecemerlangan
menenun masa depan yang masih jauh.

rasa mesra menerpa dengan bisikan
angin rantau tanpa tangisan
meninggalkan kenangan dengan surat pertukaran
masih tergenggam di tanganmu
tergamam menangguhkan keberangkatan
bersamaku di sini.

kukhabarkan berita manis
sering tiba dalam mimpi
mencari arena perjuangan
pencarian ini di mana hujungnya?

berkongsi kasih meneroka lorong kehidupan
meredah belantara belayar di lautan
dugaan menganga di mana-mana
menanti kita ketika tiba di sini.

mintalah bizin kotamu
yang melukiskan segala kenangan
menumpang di bawah bumbungnya
berangkat ke tanah subur ini.

kau tiba dengan langkah pahlawan
tanpa membakar api sengketa
seperti musim-musim yang lalu
bisikan setiapun terucap lembut.


Rancangan Sudut Sastera
Radio Malaysia Kuala Terengganu
23.10.1984






KEHIDUPAN DARI DUA SUDUT

di satu sudut
dia terbaring
di perut laut
di lain sudut
aku tertiarap
di dada belantara.

berenang di gelombang
semakin perlahan
berlari di ranjau
tanpa keupayaan.

betapa sengat sembilang
bisa meresap ke tubuh
begitu tajam onak dan duri
merentap-rentap di kaki.

meronta-ronta di air
menggelupur di tanah
dia dan aku derita luka
nelayannya
dan peneroka belantara
menempuh cabaran.


Rancangan Sudut Sastera
Radio Malaysia Kuala Terengganu
1984

DETIK-DETIK KUNTUM BERPUISI

dalam detik kuntum berpuisi
anak kucing berlari
menuju bukit berjurang tinggi
meredah paya lembah berduri.

dalam detik kuntum berpuisi
anak telanjang bertubuh sekeping
menuju sawah ibu tiri dikhuatiri
sampai di sana di maki hamun
belum mandi sendiri.

dalam detik kuntum berpuisi
awan hitam berlari
turunnya hujan tengah hari
membanjiri seluruh negeri.

dalam detik kuntum berpuisi
penggemis menunggu di kaki lima
dengan surat rasmi
mendatangi sesiapa
seringgit dua tanda simpati?

dalam detik berpuisi
ada senyum duka sendiri.


Rancangan Sudut Sastera
Radio Malaysia Kuala Terengganu
1984

KEHILANGAN
(buat allahyarham Ahmad Boestamam)

kepulanganmu ke rahmatullah
mengikut kalendar-Nya
tertulis di loh mahfuz
dunia pagi enam rabiul akhir
pemergianmu tidak ditangisi
dengan ratapan
hanya sekalung Fatihah tanda kasih
di pusara.

meninggalkan semua kenangan
hilangmu tokoh
perjalanan berwarna-warni
kepedihan hidup
keteguhan azam cita-cita
menggunung berbaur
dengan tinta sejarah tanah air.




























ANTARA DUA JURANG

Malam ini lewat dinihari
Kami melenggang pulang
Dari sebuah perbukitan
Lalu singgah di sebuah kedai pizza
Melihat betapa remaja berbaris di hadapan pub dan “massage centre”
Menanti diri dilayani apakah yang dicari ghairah khayalan
Perempuan atau lelaki penghibur antara moral yang tersungkur
Di balik lampu jalan mereka setia menunggu berbaris tanpa suara.

Di satu sudut melihat masih ada lelaki “homeless”
Bertemankan seekor anjing hitam
Menantikan fajar dengan selimut usang
Lalu-lalang di bawah bulatan.

Bristol, United Kingdom
14.01.1997




























PERJALANAN

Berjalan lagi menyusuri lorong bawah tanah
Kota london yang kukunjungi
Ketika usia hampir seabad
Maddame tusauuds
Planetrium
Melihat betapa bangsa bertamaddun
Melupakan asal kejadian ketika
Ukiran patung-patung
Pelbagai tokoh negara
Dijadikan bahan bergambar kenangan
Siapakah yang menoleh tanpa sedar
Menelanjangi akal dan budi

Bristol, United Kingdom
14.01.1997


PARLIMEN

Di sini kau bicara terbuka
Dengan keberanian menerima protes
Ditonton berjuta warga untuk menilai
Kelantangan mp mereka menelanjangin masalah negara
Tanpa sebarang keraguan
Cabar-mencabar bukan lagi cerita baru
Untuk dibanggakan rakyat
Hanya kebiasaan dari satu penggal ke penggal baru
Memilih pemimpin menerajui kerajaan.

Bilakah bicara parlimenku
Dapat dotonton seluruh warga
Antara wibawa kerajaan dan cabaran pembangkang
Ikhlas menerajui pimpinan negara.

Bristol, United Kingdom
27.02.1997



























PERANG DAN CINTA

Petang ini di sebuah pawagam ingatan meneropong jauh
Ke zaman Islam, memang benar kata Tongkat Waran
“perang telah membunuh segala mesra
Perang berlangsung mencari untung tanah jajahan
Perang membunuh anak dalam buaian
Perang berlangsung menghancurleburkan nilai kebudayaan”
Ketika menyelongkar sejarah hidup Ernest Hemingway
Ketika berlangsung perang di benua ini
Menceritakan kisah cinta kepada negara
Adalah protes nilai diri perbuatan pemimpin gila perang
Memaksa askar tanpa pangkat bunuh-membunuh sesama mereka
Hinggakan cinta terhalang cemburu memaksa perpisahan
Hinggakan kekasih melupakan nilai sebuah perkahwinan
Dan maut memanggil kembali pada usia 92
Memang benar kata pujangga cinta bukan puncaknya
Di gerbang perkahwinan kerana cinta adalah di hati.

Bristol, United Kingdom
27.02.1997

























KEPULANGAN
(mengenang pemergian Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad)

Pagi membaca berita negara di papan internet
Mengejutkan sama teman-teman di sisi
Kepulanganmu ke Rahmatullah
Duapuluh tiga Syawal dalam penerbangan melawat ibu sakit
Di tanah kelahiran adalah kehilangan
Bangsa yang kau mulakan langkah
Membangun ekonomi negara pada abad ini
Bersama kebanggaan empayar lotus dan proton
Yang menjangkau luar negara
Membasah cemburu usahawan seluruh dunia
Apakah rahmat di sebalik kepulanganmu?
Dalam hangus sebuah helikopter peribadi
Yang turut meragut isteri abadi dan juruterbang berjasa
Dari sini kuhadiahkan sekalung Fatihah di pusaramu
Penegak ekonomi bangsak!

Bristol, United Kingdom
04.03.1997

























KENANGAN
(mengenang pemergian Allahyarham Keris Mas)

Mantap sekali akal dan fikirmu
Idea bercambah idea bertambah
Memartabatkan dunia ini
Kerana kau sasterawan ulung
Sasterawan sulung
Di negara berdaulat ini
Petah bicaramu
Pedas pidatomu
Membangkit cemburu semusim
Tapi sayang plot-plot roh-roh 13 Mei
Hanya rangka yang tidak sempat kau siapkan sendiri.

Budi baikmu kau bawa ke alam Barzaq.

Bristol, United Kingdom
09.03.1997



























SAKIT

Sakit adalah anugerah yang mengajar kita bersyukur dan sabar
Meredah hidup seharian walaupun kita di rantau
Usah dikesalkan sakit yang datang kerana mengajak kita berehat
Meskipun kita masih berfikir bertanya siapakah kita sebenarnya?
Beristigifhar memohon ampun kesaalahan sebelumnya
Berdoa mohon disembuhkan kembali
Untuk menjalani kehidupan tanpa
Kesal atau dendam di hati.

Bristol, United Kingdom
10.03.1997

































MENJUNJUNG KASIH KHAZANAH BAHASA

Perjalanan baru bermula di sini...
Bakal merentasi tujuh gunung tujuh lautan
Tujuh jurang tujuh benua
Menelusuri jalur khazanah, bahasa, sastera, dan budaya
Lantas kita junjung, kita julang, kita sanjung,
Kita daulatkan, kita martabatkan
Bahasa kebangsaan warisan bangsa
Kerana bahasa ini bangsa rasmi senegara
Kerana bahasa ini bahasa ilmu seluruh mayapada
Kerana bahasa ini bahasa milik kita
Kerana kita warga setia pada negara.

Usah kesempingkan pula bahasa kedua
Meskipun bahasa ini bukan bahasa milik kita
Kerana bahasa ini bahasa menambah dan mencambah khazanah ilmu
Melayari arus globalisasi dunia
Menyelongkar rahsia alam dan pengalaman manausia sejagat
Di segenap ceruk dan pelosok
Menjana maklumat dan pemikiran telus.

Didik anak bangsa warga negara
Dengan bahasa lembut seorang ibu
Menyusur menembusi liang roma
Antara kelembutan sastera dan budaya
Antara kemanusiaan, kesenian, dan falsafah
Antara penerokaan sains, dan teknologi
Antara kebenaran siasah, dan agama
Untuk melakar tabiat terbaik
Pada garis amalan terbaik
Untuk diwarisi seluruh generasi
Mencorak sejarah dan kesatuaan ummah.

Tiada lagi penjara akal dan budi
Yang menyeksa dan membosankan anak-anak warga bahasa
Pada ceria sebuah bilik darjah di kota dan pedalaman
Paparan internet, e-mail, CD-Rom, dan televideo
Pada jaringan dan hubungan pintar
Disingkap kepersisan bahasa terlontar
Antara estetik dan kesantunan bahasa pertama dan bahasa kedua.




Perjalanan ini masih panjang menyongsong angin cabaran
Mencari makna di sebalik tabir kelangsungan
Kerana nanti bakal lahir bangsa Malaysia
Yang menyambung semangat warga setia tercinta
Sanjungan budi dan kesayangan abadi.

Wahai cendekiawan
Wahai ilmuan
Wahai pendidik
Wahai pencipta bahasa
Wahai pengamal bahasa
Benteng peradaban kita dirikan di sini
Temboknya perlembagaan negara
Tercatat tinta bahasa artikel keramat 152
Untuk dipertahankan seluruh warga.

Bahasaku bahasamu
Bahasa ini bahasa kita
Warga setia tercinta
Sanjungan budi dan kesayangan abadi
Menjulang peradaban dan tamadun bangsa.


Kuala Lumpur
23.10.2000























RUMAH KAYU DI TENGAH KOTA

Di tengah kota
Dihimpit pembangunan Jalan Chow Kit keras
Ketika melihat melintas mata melihat sekilas
Sebuah rumah kayu di antara dua bangunan batu berderet
Masih bernafas tradisi
Mewarisi asal-usul semangat Tuah dan Jebat di tanah kelahiran
Bunga-bungaan berdaun hijau bunganya berwarna-warni
Kata orang kata akhbar penghuninya seorang perempuan Melayu separuh abad
Pernahkah terfikir menjualnya
Kerana harganya pasti mencecah jutaan ringgit
Lalu bergelar jutawan sekelip mata.

Tetapi aku masih percaya
Pewarisnya tidak tergamak menjual harga bangsanya
Walaupun tawarannya lumayan berjuta
Kusanjung semangat kental kalian
Mempertahankan hak mutlak di negara berdaulat ini
Siapa tahu cucuku nanti bakal menjejakkan kaki
Dengan izin pewarisnya
Untuk betrtanyakan khabar
Di bawah takbir raya akhir abad ke-21
Masihkah bangsaku di sini.

Kuala Lumpur
September 2001

No comments:

Post a Comment