Friday, January 9, 2009

KENANGAN SULUNG

SECEBIS KENANGAN

Aku amat gembira sekali apabila keputusan PMR diumumkan. Kegembiraan seorang guru daripada kejayaan murid-murid khususnya dalam mata pelajaran Geografi. Rasanya tidak sia-sia usaha dan dorongan kepada murid-muridku sebelum peperiksaan PMR dahulu. Apa tidaknya, semua murid yang kuajar daripada kelas 3 Topez dan 3 Delima seramai 64 orang semuanya lulus subjek Geografi, mencapai sasaranku 100% muridku lulus dalam subjek yang kuajar. Malah lebih membanggakan aku sebagai guru mereka, 10 daripada mereka mendapat Gred A dalam Geografi, 28 mendapat Gred B, 18 mendapat Gred C, dan hanya 7 orang mendapat Gred D, seorang tidak hadir.

Apa yang kuharapkan dan impikan selama aku mula bertugas di Pulau Labuan sejak awal tahun 2004 membuahkan hasil, tambahan pula mereka kumpulan pertama mengambil PMR di sekolah ini, iaitu SMK Pantai. Lebih membanggakan, semua anak angkatku seramai empat orang lulus dalam subjek Geografi walaupun 2 orang daripada mereka daripada kelas paling lemah. Syukur kepada Allah.

Seperti yang aku janjikan kepada murid-muridku, aku menyumbangkan RM10.00 seorang kepada semua murid yang mendapat Gred A, dan semua anak angkatku yang lulus subjek itu, yang mana dua orang daripadanya mendapat Gred B. Sebagai meraikan kejayaan mereka, aku mengadakan jamuan khas di rumah dengan menjemput murid-muridku yang akan melangkah ke Tingkatan 4 pada Tahun ini, 2005 dan sebagai galakan aku juga menjemput murid-muridku yang berada di Tingkatan 3 yang bakal menghadapi PMR pada Tahun 2005.

Aku juga amat bangga kerana enam orang muridku hanya kekurangan satu subjek untuk mendapat “straight A” dalam PMR sulung di sekolah kami, termasuk seorang anak angkatku.

Walaupun kini aku tidak lagi mengajar di SMK Pantai kerana mulai 1 Disember 2004 aku bertukar ke Jabatan Pelajaran Labuan, kenangan manis di SMK Pantai tidak aku lupakan sepanjang hayat. Ada kesinambungan kejayaan dan kecemerlangan murid-muridku di SMK Setapak Indah, Kuala Lumpur yang mana aku bersama pengetuanya merupakan perintis sebuah sekolah baru. Malah hingga kini murid-muridku masih menghantar SMS bertanyakan khabar. Malah pada PMR 2003 seramai 19 orang daripada muridku di sekolah itu mendapat 8A, (“straight A”). Aku yakin murid-murid di Pulau Labuan juga boleh mencapai kejayaan lebih baik jika kena dengan dorongan, usaha dan strategi untuk cemerlang.

Inilah kepuasan dalam liku-liku perjalanan kehidupan seorang guru yang penuh dengan cebisan kenangan manis bersama-sama anak-anak muridnya.
Wassalam.

SAMSA HARRIS
W.P Labuan 1 Januari 2005
Aku menerima khabar gembira anak-anak murid yang pernah kuajar semasa Tingkatan 2 Tahun 2004 di SMK Pantai, mendapat kejayaan yang boleh dibanggakan. Seorang muridku bernama Wilson yang pernah kuajar mata pelajaran Bahasa Melayu mendapat “straight A” dalam peperiksaan PMR Tahun 2005. Begitu juga beberapa orang muridku yang lain mendapat kejayaan yang agak cemerlang dalam PMR tersebut.

Aku juga menerima khabar gembira daripada muridku di Tingkatan 5 di SMK Setapak Indah, Kuala Lumpur. Ada antara muridku(M. Hudaifah) yang mendapat 10 A dalam peperiksaan SPM Tahun 2005 walaupun muridku ini kehilangan bapanya semasa sedang menghadapi peperiksaan tersebut. Malah beberapa orang murid yang masih kuingat nama mereka turut berjaya dengan agak cemerlang mendapat 6A, 7A dan 8A dalam peperiksaan SPM. Apa yang menggembirakan aku ialah mereka masih berhubung denganku melalui telefon dan SMS walaupun setelah hampir tiga tahun aku meninggalkan mereka untuk berhijrah ke Labuan. Aku tumpang gembira dengan kejayaan mereka. Semoga mereka terus berjaya dalam hidup.



10 April 2006

Apabila keputusan PMR Tahun 2009 diumumkan pada 30 Disember lalu, hatiku sebak kerana keputusan keseluruhan hanya 54.90, peningkatan yang amat kecil iaitu 0.06 % dari PMR Tahun 2007 iaitu 54.84 %. Penolong Kanan 1 Puan Dona Undoh terus membuat analisis. Dua orang muridku mendapat 6A dan 2B, hampa lagi harapanku untuk melihat kejayaan muridku mendapat “straight A’s kali ini. Lebih membingungkan aku mata pelajaran Kemahiran Hidup 4 merudum kepada 82% berbanding tahun sebelumnya 100%, juga mata pelajaran Geografi merudum daripada lebih 90% Tahun 2007 kepada 82% sahaja.. Semua mata pelajaran mengalami penurunan prestasi, kecuali Bahasa Inggeris dan Sejarah. Peningkatan prestasi Bahasa Inggeris daripada 59% kepada 65% tidak dapat mengubat kesedihan hatiku. Sejenak aku memikirkan seolah-olah aku gagal “mengurus” guru dan muridku. Kecewa juga aku seketika itu. Tetapi aku perlu cepat bangkit daripada kecewa ini. Untuk memujuk hatiku, aku tahu sekolahku tiada Kelas KRK seperti sekolah lain dan “feeder school” kami daripada murid lemah. Aku perlu keluar daripada kegagalan ini, lebih-lebih lagi aku baru diberikan surat memangku Gred DG48 pada bulan lepas.. Aku perlu bangkit dan mencari jalan meningkatkan prestasi muridku di SMK Lajau. Khabar gembira daripada Shamsuddin, bekas guruku yang kini masih di SMK Setapak Indah, Kuala Lumpur yang memberitahu 11 murid mendapat ”Straight A’s” mengubat sedikit kesedihan ini. Sekolah yang kutinggalkan lima tahun lalu terus meniti kejayaan walaupun berlaku sedikit penurunan selepas kutinggalkan pada Tahun 2003 dulu. Aku bertekad mencari penyelesaian, aku akan jalinkan hubungan dengan Guru Besar SK Lubok Temiang yang baru Encik Matlong untuk meletakkan landasan yang kukuh di sekolah rendah.

Apa yang lebih memilukan aku ialah apabila muridku yang agak cemerlang dalam PMR memohon bertukar ke sekolah lain. Manakala ada murid yang lemah dari sekolah lain merayu masuk ke sekolahku.. Kalau diikutkan hati mahu sahaja aku larang muridku bertukar keluar dan tidak menerima murid baru tetapi kalau begitu di mana pula murid lemah ini hendak belajar? Aku buang keliru dan berazam supaya murid lemah juga perlu aku majukan walaupun pengetua sekolah lain tidak menerimanya.

Aku berdoa supaya ada sinar dalam SPM dan STPM pula.
31 DISEMBER 2009

KENANGAN MASAM PAHIT MANIS

Kenangan masam pahit manis adalah catatan peribadi atas luahan rasa dan coretan pengalaman sebenar dalam hidupku dalam tugas seharian atau kehidupan peribadi yang terlalu banyak rahsia kehidupan untuk dirakamkan supaya dokumentasi pengalaman ini tidak hilang ditelan angin sepoi atau angin kencang yang meniup hidup dan bumi ini